SETIU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu membawa seorang bayi perempuan berusia empat hari yang mengidap penyakit kuning untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Seri Langkap di sini, hari ini.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Kapten (PA) Mohd. Nizu Husien berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membantu membawa mangsa ke klinik tersebut pukul 10 pagi tadi.
“Bayi tersebut dan ibunya Raihan Nasuha Sadi, 24, tidak dapat pergi ke klinik apabila laluan dari rumahnya di Kampung Kasar ke klinik berkenaan dinaiki air dan APM telah menggunakan pacuan empat roda untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa.
“Mangsa kemudiannya berjaya dibawa ke klinik oleh ambulan APM yang telah bersiap sedia menunggu mereka yang dibawa keluar dengan pacuan empat roda,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, ibu dan bayi tersebut dihantar semula di kediamannya selepas selesai menerima rawatan.
Dalam pada itu, Mohd. Nizu berkata, orang ramai yang mempunyai masalah kesihatan atau mereka yang perlu mendapatkan rawatan berkala di hospital serta klinik yang tinggal di kawasan berisiko banjir dinasihatkaj segera berpindah ke kawasan selamat.
“Apabila banjir akan menyukarkan mereka untuk keluar, jadi kita minta mereka berpindah ke rumah saudara-mara atau tempat selamat bagi memudahkan mereka mendapatkan rawatan,” katanya.
ANGGOTA APM membantu membawa bayi perempuan berusia empat hari yang mengidap penyakit kuning dari Kampung Kasar ke Klinik Kesihatan Seri Langkap di Setiu, hari ini. – UTUSAN