PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyuarakan keresahan mengenai pertumpahan darah yang berlaku di Gaza pada Majlis Dialog Tidak Rasmi dan Makan Tengah Hari Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
Sesi yang berlangsung di Moscone Centre, San Francisco itu dipengerusikan Presiden Joe Biden dengan dihadiri oleh semua pemimpin APEC lain.
“Saya tegaskan apa yang berlaku di Gaza jelas menyerlahkan kegilaan menidakkan tanggungjawab moral yang membenarkan kemusnahan besar-besaran berlaku seterusnya mengakibatkan malapetaka iklim,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook.
Dalam majlis sama, Anwar turut menegaskan, negara maju perlu melakukan lebih banyak lagi untuk memikul tanggungjawab dan membantu negara membangun dalam peralihan tenaga.
“Malaysia juga sedang mengubah ekonominya dan melabur dalam masa depan yang lebih bersih dan hijau termasuk melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional.
“Syarikat minyak nasional, Petronas juga telah memberi komitmen untuk laluan pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya. -UTUSAN