PUTRAJAYA: “Kami sungguh terharu dan gembira sehingga ada menitis air mata apabila dapat berjumpa Perdana Menteri sanggup luang masa dengar masalah teksi di Malaysia.”
Demikian luahan Yang Dipertua Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Lapangan Terbang Se-Malaysia (GTSM), Kamarudin Mohd. Hussain ketika hadir mewakili hampir 40,000 pemandu kenderaan itu.
Dalam Pertemuan sulung antara gabungan lebih 130 buah badan teksi tempatan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 40 minit itu, ujarnya, Perdana Menteri memberikan jaminan bersedia membawa isu dan syor GTSM kepada kementerian yang berkaitan ketika mesyuarat mingguan Kabinet nanti.
“Meskipun surat bagi memohon sesi pertemuan itu dihantar pada 14 September, GTSM sudah pun menerima maklum balas hanya dalam masa sebulan.
“Apa yang menariknya, Perdana Menteri cukup arif mengenai isu ‘panas’ teksi di Malaysia yang bergelut dengan perkhidmatan tidak terkawal pelbagai operator e-panggilan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas pertemuan itu di luar bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.
Menyentuh antara syor dikemukakan GTSM, beliau memberitahu, pihaknya mahu pelan penjenamaan semula imej teksi dengan dikembalikan hak permit import kepada mereka.
Kebenaran itu ditarik balik Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri kali pertama yang mewajibkan mereka hanya boleh memakai kereta nasional sebagai teksi.
Malangnya kata Kamarudin, kenderaan tersebut adalah jenis sudah ‘ditolak’ kerana yang berkualiti dieksport ke luar negara dan situasi itu menyebabkan isu rungutan penumpang.
Justeru ujarnya, GTSM berharap agar pemandu teksi diberikan balik permit bagi membawa masuk kereta terpakai yang berkualiti dari luar negara demi keselesaan para pelanggan.
“Bukan kami tidak suka jenama Proton namun ada banyak isu teknikal berlaku sehingga kereta itu kerap perlu dibaiki dan menyusahkan pemandu teksi mencari rezeki,” jelasnya. – UTUSAN