KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim akan berbincang dengan mufti berhubung penganjuran Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur yang kini didesak untuk dibatalkan oleh pelbagai pihak.
Perdana Menteri berkata, terdapat pertikaian berhubung kewajaran konsert tersebut tidak diteruskan kerana Coldplay dikatakan antara kumpulan yang menyokong Palestin susulan serangan oleh zionis Israel.
Katanya, sekiranya terdapat isu-isu lain melibatkan kumpulan penyanyi antarabangsa itu, Anwar juga akan membincangkan hal tersebut dengan mufti.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan garis masa perbincangannya mengenai konsert berkenaan.
“Coldplay ini antara kumpulan yang menyokong Palestin, jadi ada masalah sikit (mengapa harus dibatalkan). Kerajaan lalu telah luluskan juga. Jadi, saya akan bincang dengan mufti apakah keadaan ini.
“Kerana ada pelobi gerakan dari Palestin yang menyokong dan memberi pandangan kepada Menteri Luar dan pejabat saya yang menyuarakan mengapa dihalang kumpulan yang menyokong perjuangan Palestin daripada meneruskan persembahan?
“Tetapi, kalau perkara ini dibangkitkan kerana ada beberapa isu lain yang kita tidak setuju itu akan saya bincang semula,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal [PN-Machang] mengenai pendirian kerajaan tentang konsert Coldplay bagi memahami keadaan semasa melibatkan krisis di Gaza, Palestin.
Pada 18 November lalu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah dalam kenyataan menasihati supaya penganjur konsert Coldplay, tidak meneruskan acara berskala besar tersebut yang disifatkan melalaikan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini.
Katanya, konsert tersebut jelas bertentangan dengan nilai-nilai murni dan budaya masyarakat di negara ini.
Kenyataan yang dikongsi di lama Facebook rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan itu turut disertakan dengan garis panduan hiburan telah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Katanya, umat Islam seharusnya peka dan mematuhi garis pandungan yang telah dikeluarkan oleh agensi bertauliah.
Terdahulu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Muzik Malaysia, Ayob Abd. Majid dilaporkan berkata, banyak pihak yang rugi jika konsert itu dibatal dan meminta mana-mana pihak tidak mempolitik atau berburuk sangka dengan penganjuran konsert Coldplay. – UTUSAN