SEPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berperanan dalam usaha pembebasan 17 warga Thailand di Gaza yang menjadi tebusan Hamas pada minggu lalu.
Perkara berkenaan didedahkan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang turut mengesahkan ia hasil susulan daripada permintaan kerajaan Thailand sendiri ekoran kejayaan pembebasan warga Malaysia dari Gaza awal bulan ini.
“Proses ini amat sukar dan dilakukan penuh berhati-hati kerana ia dibuat bukan dalam fasa gencatan senjata dengan suasana di wilayah itu masih lagi dalam perang,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini sebelum bertolak bagi menghadiri Mesyuarat Plenari Perhimpunan Agung Bangsa Bersatu.
Sesi tersebut yang disusuli Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan badan dunia itu di New York, Amerika Syarikat diadakan khusus bagi meneliti perkembangan semasa di Palestin.
Berita operasi khas membawa keluar Nurul Ain Haron dan suaminya warga Palestin itu pulang ke tanah air dipercayai menjadi faktor Thailand memohon pertolongan dari Malaysia.
Zambry namun menegaskan bahawa peranan aktif Malaysia di peringkat sejagat selama ini sebenarnya banyak membantu misi itu hasil kerjasama erat dengan kerajaan Mesir.
Malaysia tidak mempunyai langsung hubungan diplomatik dengan rejim Israel dan Wisma Putra dipercayai turut menerima pertolongan daripada negara-negara rantau Asia Barat.
Ini termasuk Mesir, Jordan dan Turkiye yang ada jalinan diplomatik dengan Tel Aviv serta menggunakan pengaruh mereka bagi memastikan jaminan keselamatan rakyat Malaysia.
Pagi tadi, Perdana Menteri Thailand, Settha Thavisin ketika bertemu Anwar di sempadan Sadao-Bukit Kayu Hitam mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatannya itu dipercayai merujuk pembebasan rakyat negara itu ketika berlangsung jeda kemanusiaan ekoran gencatan senjata selama empat hari bermula Jumaat lepas.
Walau bagaimanapun, sebuah badan Muslim dikenali Persatuan Alumni Thailand-Iran semalam mendakwa mereka bertanggungjawab dalam usaha berkenaan. – UTUSAN