PUTRAJAYA: Geran bernilai RM200,000 bakal diberikan kepada penerima Anugerah Penarafan Bandar Pintar, Malaysia Urban Planning Awards (MUPA) melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mulai tahun depan.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk M. Noor Azman Taib berkata, ini merupakan kaedah dan pendekatan baharu kementerian bagi membolehkan sesuatu perancangan berkaitan pembangunan bandar pintar dapat dilaksanakan oleh PBT.
“Melalui pemberian geran ini PBT dapat melaksanakan projek-projek yang berkaitan bandar pintar.” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2023, di sini hari ini.
Jelasnya lagi, buat masa ini pihak KPKT menumpukan kepada kategori berkenaan terlebih dahulu sebelum ia diperluaskan kepada kategori yang lain pada MUPA akan datang.
Dalam pada itu, M. Noor Azman dalam ucapannya berkata, bidang kuasa yang digariskan KPKT dalam memperkasa komuniti ke arah penglibatan aktif komuniti melalui tadbir urus bandar untuk pembangunan dan kehidupan yang sejahtera.
“Tujuh bidang fokus baharu KPKT telah saya gariskan dan antara berkait rapat dengan profesion perancangan bandar adalah bidang fokus ke empat iaitu pemerkasaan komuniti tanpa mengira kaum dan bidang.
“Manakala bidang fokus ke enam adalah memperkukuh agenda bandar mampan dan pintar ke arah perbandaran baharu.
“KPKT komited merancang dan melaksanakan inisiatif-inisiatif yang dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara serta memberi manfaat kepada rakyat dalam menikmati kehidupan yang berkualiti,” katanya, – UTUSAN