PETALING JAYA: Dalam usaha mengejar kedudukan 10 atlet terbaik dunia untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024, Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berkemungkinan besar akan menghantar dua bintang utamanya, Aniq Kasdan dan Aznil Bidin menjalani latihan di luar negara.
Setakat ini hanya dua negara tersenarai sama ada China atau Indonesia yang menjadi pilihan PABM bagi menempatkan kedua-dua atlet itu berpangkalan selama 30 hari sebelum meneruskan kelayakan akhir pada April 2024.
Jurulatih, Amirul Hamizan Ibrahim bagaimanapun berkata, Aniq dan Aznil perlu menghadapi Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Qatar pada 12 Disember ini yang merupakan pertandingan penutup mereka bagi musim 2023, sebelum dilepaskan menjalani latihan di luar.
“Selepas kejohanan itu, kita akan tengok ranking dunia yang baru kerana selepas itu kita ada lagi dua kelayakan dengan yang terakhir di Pattaya, Thailand pada April 2024.
“Jadi, selepas kejohanan di Qatar nanti, mungkin kita adakan perbincangan dengan Jawatankuasa Road to Gold (RTG) bagi melepaskan mereka berlatih di luar negara untuk persiapan fasa akhir.
“Ini bermakna kami mahu cukupkan persediaan mereka agar apabila menghadapi kelayakan akhir pada April nanti, mereka sudah bersedia dan lengkap segalanya.
“Buat masa ini, Aniq dan Aznil saling memintas satu sama lain, malah perbezaan angkatan mereka pun hanya 1 kilogram (kg). Buat masa ini Aniq berada di No.10 dunia dan Aznil, No.11. Kelayakan ke Olimpik pula telah dihadkan kepada 10 atlet terbaik dunia saja.
“Dalam kejohanan di Havana (Jun), Aznil memintas Aniq dengan perbezaan 1kg, tetapi semasa di Riyadh (September), Aniq memintas Aznil dengan perbezaan 1kg juga. Mereka saling kejar-mengejar mendapatkan kedudukan 10 terbaik,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Amirul berkata, kemajuan Aniq yang bertukar kategori daripada 55kg kepada 61kg telah menunjukkan peningkatan sangat ketara apabila dia berjaya membuat purata angkatan antara hingga 8kg dalam masa hanya setahun. – UTUSAN