GEORGE TOWN: Terdesak untuk menyelamatkan diri daripada pihak berkuasa, sekumpulan penunggang motosikal sanggup mengangkat motosikal melintasi pembahagi jalan.
Gelagat beberapa penunggang motosikal itu antara yang dapat disaksikan dalam Ops Bersepadu: Samseng Jalanan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, di sini awal pagi tadi.
Operasi bermula pukul 2 pagi hingga 5 pagi itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Barat Daya dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri bagi mencegah gejala samseng jalanan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, dalam operasi tersebut, sebanyak 50 buah motosikal disita atas pelbagai kesalahan serta bagi siasatan lanjut.
Ujar beliau, sebanyak 144 saman atas pelbagai kesalahan trafik termasuk mengubah spesifikasi asal motosikal selain lesen memandu tamat tempoh turut dikeluarkan dalam operasi tersebut.
“Tindakan diambil mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 selain sebuah motosikal turut disita di bawah Seksyen 108 APJ 1987 kerana memalsukan nombor pendaftaran.
“Selain membendung samseng jalanan, operasi ini juga bertujuan memastikan penunggang motosikal sentiasa mematuhi peraturan-peraturan lalu lintas sedia ada dan mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Kamarul Rizal, kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Bayan Baru dekat sini untuk siasatan lanjut.
Tegas beliau, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mencegah aktiviti samseng jalanan yang sering mengganggu ketenteraman awam. – UTUSAN