PUTRAJAYA: Jumlah keanggotaan kesatuan sekerja di negara ini sudah mencecah sejuta ahli tahun ini dan ia dicapai dua tahun lebih awal daripada yang disasarkan.
Setakat 30 Oktober lalu, jumlah keanggotaan kesatuan sekerja di negara ini direkodkan seramai 1,008,371 orang.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar berkata, pihaknya berharap jumlah keanggotaan ini akan meningkat tahun hadapan dengan sasaran tambahan 50,000 anggota baharu.
“Pencapaian ini membanggakan khususnya kepada pihak kementerian yang mengharapkan lebih ramai pekerja menganggotai kesatuan sekerja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 di sini hari ini.
Katanya, kementerian akan memastikan semua pekerja dan hak mereka dilindungi sepenuhnya apatah lagi jika ahli kesatuan mencukupi.
“Kita ada 16 juta pekerja di negara ini dan adalah wajar untuk kita tingkatkan kesatuan dan jumlah anggota itu sebagai mewakili pekerja di negara ini,” katanya.
Ditanya apakah nisbah jumlah ideal kesatuan dan anggota sekerja yang diperlukan di negara ini, Sivakumar berkata, jika dapat mencapai separuh daripada jumlah pekerja, ia lebih baik.
“Tapi ia mungkin mengambil masa lebih lama. Kalau dapat jumlah lebih besar ia lebih baik,” katanya.
Sementara itu, Sivakumar berkata, kementerian meneruskan peruntukan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) tahun hadapan dengan jumlah perutukan sebanyak RM5.8 juta, iaitu tertinggi diberikan kerajaan berbanding tahun-tahun sebelumnya. – UTUSAN