Ancaman harimau: Penduduk Pos Pasik bimbang, berkurung

Ancaman harimau: Penduduk Pos Pasik bimbang, berkurung dalam rumah

KESAN tapak kaki harimau masih lagi ditemukan oleh penduduk Orang Asli di Pos Pasik, Gua Musang, Kelantan. - GAMBAR IHSAN PENDUDUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Penduduk Orang Asli di Pos Pasik di sini menyifatkan serangan harimau belang yang sudah meragut tiga nyawa setakat ini sebagai insiden terburuk sejak mereka mendiami kawasan berkenaan puluhan tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Pasik, Mohd. Sani Nahtiman berkata, hal ini kerana kejadian itu berlaku dalam tempoh yang singkat sekali gus menyebabkan penduduk mengambil langkah waspada dan berjaga-jaga.

Menurutnya, menambahkan lagi kebimbangan apabila penduduk mendapati harimau itu masih berkeliaran di beberapa kampung susulan penemuan kesan tapak kaki harimau ketika ingin ke sungai beberapa minggu lalu.

“Saya telah meminta supaya penduduk sentiasa berwaspada dan berhati-hati jika hendak bergerak secara berkumpulan atau ingin kemana-mana,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Mohd. Sani memberitahu, penduduk masih hidup dalam kebimbangan dan berkurung di dalam rumah kerana ingin mengelak serangan harimau yang masih bebas berkeliaran.

Katanya, penduduk kampung berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin.

Sementara itu, seorang pekebun di Kampung Meranto, Samsuddin Mohamad, 58, berkata, ketika ini penduduk masih tidak ke kebun selepas kejadian dua warga asing maut dibaham harimau ketika sedang menoreh getah di kawasan ladang berhampiran.

Katanya, penduduk kampung yakin harimau belang masih bebas berkeliaran di kawasan hutan akan masuk ke kawasan perkampungan.

“Kami sentiasa berdoa agar harimau berkenaan segera masuk perangkap dan tidak lagi menyerang lebih ramai manusia.

“Sepanjang membuka kebun di kawasan ini saya tidak pernah berdepan dengan ancaman harimau belang,” ujarnya.

Akhbar ini, sebelum ini melaporkan, selepas penemuan mayat lelaki warga Indonesia yang maut akibat dibaham harimau di Pos Pasik di sini kelmarin, seorang lelaki warga Myanmar pula meninggal dunia angkara pak belang di kebun getah di Kampung Meranto dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, Ahka Soe Ya, 22, cedera parah pada bahagian kepala akibat diserang seekor harimau belang ketika sedang menoreh getah bersama isterinya di ladang Meranto di sini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya