IPOH: Polis Perak mengesahkan tidak menemui sebarang objek meragukan di sebuah sekolah antarabangsa di sini susulan laporan ancaman bom yang diterima sekolah berkenaan hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, hasil pemeriksaan teliti yang dijalankan di seluruh kawasan dan bangunan sekolah itu mendapati keadaan adalah selamat.
“Laporan berkaitan ancaman bom ini diterima pada pukul 10.10 pagi daripada pihak sekolah yang memaklumkan telah menerima e-mel daripada individu tidak dikenali berkaitan bom dalam bangunan sekolah.
“Tindakan segera telah diambil dengan pemeriksaan menyeluruh dilakukan di seluruh kawasan sekolah membabitkan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, selepas keadaan di sekolah itu disahkan selamat, semua tenaga pengajar dan pelajar dibenarkan masuk ke dalam bangunan pada pukul 1.15 petang.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Orang ramai diingatkan agar tidak menghantar e-mel ancaman bom palsu hingga mendatangkan ketakutan orang ramai dan mengggugat ketenteraman awam,” katanya. – UTUSAN