PUTRAJAYA: Para pemimpin Angkatan Muda Keadilan (AMK) diingatkan agar mengelak daripada masalah yang dikenali sebagai ‘Jadong’ atau singkatan Jahat, Bodoh, Sombong.
Ketua sayap belia PKR itu, Adam Adli Abdul Halim menambah, fenomena negatif ini begitu lazim terdapat dalam kalangan penjawat politik di seluruh dunia.
Masalah ini ujarnya, pernah didedahkan cendekiawan terkenal tanah air, Prof. Datuk Dr. Syed Hussein Alatas dan seharusnya dielakkan mereka yang bergiat dalam arena siasah.
“Pemimpin ‘Jadong’ ini hanya mampu tiru pemikiran orang lain tetapi tiada pula berupaya selesai masalah sebenar,” katanya berucap pada Kongres Nasional Tahunan AMK 2023.
Ini merupakan penampilan sulung Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu setelah menang ketika pemilihan kepimpinan AMK pada tahun lalu.
Allahyarham Syed Hussein, iaitu bekas Naib Canselor Universiti Malaya ujarnya, turut menjadi ‘guru pemikiran’ Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain pemikir Islam dikenali Ibn Khaldun.
“Situasi ‘Jadong’ berlaku apabila pemimpin tidak dilatih sejak awal zaman pemudanya, untuk berfikiran kritis dan tidak diterapkan pun semangat pembinaan bangsa,” tegasnya.
Apa yang difikirkan individu berkenaan kata beliau, sebaliknya hanyalah kepentingan dan peluang untuk diri sendiri sehingga menyebabkan aspek pembinaan negara terbantut.
Sambil mengulangi perwakilan sayap itu bahawa situasi sekarang bukan lagi zaman untuk mereka cuma tahu membangkang semata-mata tetapi masa bagi mengisi kemenangan.
AMK kata Adam, tiada pilihan kecuali perlu melaksanakan amanah yang dipikul sebagai pembela golongan rentan kerana rakyat memerhatikan segala tindak-tanduk pemerintah. – UTUSAN