PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) akan mengeluarkan amaran kepada orang ramai mengenai keadaan cuaca dalam tempoh tiga hari lebih awal berdasarkan pada ketumpatan hujan yang berlaku.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah MET Malaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, tiada pihak yang boleh memberi jawapan secara saintifik sama ada Monsun Timur Laut (MTL) kali ini lebih teruk ataupun tidak kerana memang tidak ada kaedah saintifik di dunia ini yang mampu meramal keadaan cuaca teruk ataupun tidak.
“Tetapi, kami dapat meramal ketumpatan hujan di satu kawasan dan dari situ kami akan mengeluarkan kenyataan hujan yang berperingkat sama ada berwaspada, buruk dan bahaya” katanya.
Monsun Timur Laut dijangka bermula sekitar minggu pertama atau kedua pada bulan November iaitu empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa hujan lebat berterusan terutama di pantai timur Semenanjung dan barat Sarawak diramalkan berlaku dalam tempoh musim berkenaan.
Menurut Muhammad Helmi, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan agensi-agensi keselamatan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan memberi maklumat tentang ramalan cuaca semasa.
Dengan maklumat tersebut katanya, agensi berkenaan dapat menggerakkan logistik yang sedia ada ke kawasan yang mungkin berisiko untuk berlakunya perkara yang tidak diingini seperti banjir kilat.
Mengenai ramalan cuaca beliau berkata, ia amat penting bagi mengelakkan kerajaan mengalami kerugian besar akibat daripada kerosakan harta benda dan infrastruktur.
Sebagai contoh, kegiatan sosioekonomi memang bergantung kepada cuaca misalnya kawasan pengairan, perkapalan dan penerbangan.-UTUSAN