IPOH: Alexey Zakharov merangkul kejuaraan perseorangan Kejohanan Tenis Sanctband ITF World Tennis Tour M15 Pusingan 2 di Arena Tenis Perak di sini hari ini.
Zakharov, dari Rusia menumpaskan Takuya Kumasaka dari Jepun 6-0, 6-3 pada perlawanan akhir untuk menjulang gelaran pertamanya..
Pemain berusia 23 tahun itu.menjadi sensasi apabila menyingkir pemain pilihan utama kejohanan, Filip Peli Wo dari Poland di pusingan kedua.
Zakharov kemudiannya menunjuk pintu keluar pemain pilihan keenam, Lee Duckhee (Korea) 6-4 6-4 di suku akhir.
Bagi kejayaan itu, Zakharov meraih hadiah kemenangan wang bernilai RM9,633.
Kumasaka yang turut melakukan kejutan menumpaskan pilihan kedua, Lee Daekmoon (Korea) ketika dalam perjalanan ke final pula terpaksa berpuas hati dengan hadiah RM5,673.
Zakharov berkata, dia gembira dengan kejayaan yang dijulangnya itu.
“Kejuaraan ini menyemarak semangat serta keyakinan saya. Kejayaan ini akan meningkat kedudukan ranking saya,” katanya.
Kumasaka juga berpuas hati dengan pencapaiannya di Ipoh.
“Kejayaan mara ke perlawanan akhir di kejohanan ini sudah cukup baik,” katanya. – UTUSAN