Al-Sultan Abdullah angkat kemuliaan, kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong - Utusan Malaysia

Al-Sultan Abdullah angkat kemuliaan, kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-67 baginda di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan penghargaan kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas kebijaksanaan baginda berdua mengangkat kemuliaan dan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong.

Titah baginda, Al-Sultan Abdullah akan menamatkan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 30 Januari 2024 akan tercatat dalam sejarah menghadapi cabaran-cabaran berat yang tidak ada duluan ketika baginda bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-XVI.

Sultan Nazrin bertitah, Al-Sultan Abdullah  berurusan dengan empat orang Perdana Menteri dan empat pasukan Jemaah Menteri, di samping memperkenankan lantikan tiga orang Perdana Menteri.

Baginda bertitah, dalam tempoh pemerintahan Al-Sultan Abdullah, dunia dilanda wabak Covid-19, yang memerlukan rakyat di negara ini dikenakan perintah kawalan pergerakan.

“Ketika berhadapan isu-isu penting negara, Baginda telah mengamalkan budaya syura yang tinggi, menjemput Raja Pemerintah dari negeri-negeri untuk bermesyuarah mencari persefahaman dan kata sepakat dalam semangat gunung sama didaki – berat sama dipikul.

“Atas nama takhta, dan bagi pihak kerajaan dan rakyat negeri Perak Darul Ridzuan, Beta menzahirkan penghargaan yang setinggi-tingginya kepada Al-Sultan Abdullah begitu juga kepada Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah atas kebijaksanaan baginda berdua, mengangkat kemuliaan dan kedaulatan institusi Yang di-Pertuan Agong.

“Semoga baginda berdua dilimpahi rahmat Ilahi dalam keadaan keafiatan; semoga segala amal yang disempurnakan, dikurniakan Ilahi ganjaran dunia – ganjaran akhirat,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-67 baginda di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, Al-Sultan Abdullah telah membuktikan Raja Pemerintah bukan simbol perpaduan yang abstrak tetapi berperanan sebagai payung penyatuan dan pengikat yang hidup, antara rakyat, negara dan takhta.

Baginda bertitah, perkara itu Al-Sultan Abdullah buktikan semasa bersama Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menjayakan program ‘Kembara Kenali Borneo’, bercemar duli berangkat mengadakan lawatan ke Sabah dan Sarawak selama 11 hari, pada 3 hingga 13 September 2023.

“Rakyat daripada pelbagai lapisan hidup berpanas-berhujan, membuktikan rasa kasih dan taat setia, menyambut keberangkatan baginda. Baginda berdua berperanan bagaikan ibu dan ayah kepada setiap rakyat Malaysia.

“Sifat baginda berdua menyantuni rakyat, bukan sahaja merapatkan hubungan rakyat dengan raja, malah memperkukuhkan hubungan Sabah dan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan, juga meningkatkan penghargaan rakyat kepada institusi raja,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 pada 27 Oktober lalu telah mengisytiharkan Sultan Johor Darul Takzim, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-XVII berkuat kuasa 31 Januari 2024.

Titah baginda, berasaskan pengalaman dan keprihatinan baginda terhadap rakyat jelata, Sultan Ibrahim berupaya menyuntik roh dan tenaga kepada takhta pemerintahan Kerajaan Persekutuan.

“Pendirian tegas dan konsisten baginda mengenai rakyat negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, serta pendirian baginda yang menolak amalan perkauman dan mementingkan amalan toleransi antara kaum dan kebebasan agama lain, pastinya memberikan jaminan dan keselesaan, bahawa rakyat pelbagai kaum dan pelbagai agama akan diberikan perlindungan dan layanan secara adil – secara saksama.

“Semoga baginda dilimpahi nur dan petunjuk Ilahi, meneruskan kesinambungan institusi Yang di-Pertuan Agong yang selama ini menjadi pelindung amalan demokrasi, tiang seri keharmonian rakyat dan nadi perpaduan negara, serta mempertemukan pemimpin dan rakyat jalan lurus yang mendapat keredaan Ilahi,” titah baginda. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya