KUALA TERENGGANU: Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu hari ini memutuskan ajaran dan fahaman yang dibawa oleh seorang lelaki dari Syria, Mhd. Mohib Khouli Nazem adalah sesat dan haram diikuti oleh umat Islam kerana bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Mufti Terengganu, Datuk Dr. Mohamad Sabri Haron berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu Kali ke-15 yang bersidang pada 30 Ogos lalu.
Menurutnya, ajaran Mhd. Mohib Khouli Nazem adalah sesat lagi menyesatkan dan bercanggah dengan tonggak akidah Islam yang diyakini oleh ulama’ al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah.
“Ciri-ciri penyelewengan ajaran Mhd. Mohib Khouli Nazem termasuk mendakwa Allah SWT Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu, jika Allah SWT menghendaki mengadakan anak untuk diriNya, Dia Maha Berkuasa menciptanya.
“Dakwaan ini merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana memahami Allah SWT harus mempunyai anak, sedangkan adalah jelas Allah SWT mustahil mempunyai anak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mhd. Mohib Khouli Nazem adalah seorang lelaki warganegara Syria yang kini menetap di Malaysia setelah berkahwin dengan rakyat tempatan.
Beliau sebelum ini sering membuat siaran secara langsung di Facebook dan menyampaikan ceramahnya kepada orang ramai.
Tambahnya, antara fahaman yang dibawanya juga mendakwa bahawa Allah SWT Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan oleh sebab itu, jika Allah SWT menghendaki duduk atas belakang sayap nyamuk, Dia Maha Berkuasa melakukannya.
Jelasnya, dakwaan itu boleh merosakkan pegangan akidah masyarakat Islam kerana memahami seolah-olah Allah SWT mempunyai sifat dan jisim yang sama seperti makhluk.
“Malah, ajaran itu mendakwa pentakwilan ayat-ayat sifat Allah SWT yang diterima pakai oleh aliran ulama’ al-Asya’irah dan al-Maturidiyyah seperti Istiwa’, Wajh, Yad dan seumpamanya adalah sesat sama kedudukannya seperti ajaran kumpulan Mu’tazilah dan Jahmiyyah yang sesat.
“Ajaran itu turut mendakwa bahawa golongan al-Asya’irah adalah sama dengan golongan Yahudi, Jahmiyyah, Mu’tazilah, Musyrikin dan penyembah lembu.
“Ia juga mendakwa bahawa akidah para ulama al-Asya’irah seperti Imam al-Ghazali, Imam al-Nawawi, Imam Fakhruddin al-Razi, Imam al-Syahrastani dan Sultan Ulama I’zzuddin Ibn ‘Abd al-Salam adalah sama pegangan dengan akidah puak sesat Jahmiyyah,” katanya.
Tambah Mohamad Sabri, ajaran itu juga mendakwa bahawa Imam Abu Hanifah mati dalam keadaan kufur; dan mendakwa bahawa tidak sah solat di belakang imam yang berpegang dengan akidah al-Asya’irah.
“Oleh itu, jawatankuasa fatwa memutuskan mana-mana orang Islam yang mengamalkan sebarang ajaran yang berkaitan dengan Mhd Mohib Khouli Nazem adalah haram,” katanya. – UTUSAN