KUALA LUMPUR: Nur Aisyah Mohamad Zubir dipilih mewakili negara dalam acara lebuh raya Sukan Olimpik Paris 2024 menewaskan tiga pencabar lain.
Pemilihan Aisyah, 26, dibuat berdasarkan kedudukan mata yang diraihnya paling tinggi berbanding tiga lagi pelumba yang turut disenaraikan iaitu Phi Kun Pan, Siti Nur Adibah Akma dan Yeong Zhen Yi.
Susulan pengumuman itu, Aisyah dikhabarkan ingin bertemu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi mendapatkan bantuan serta sokongan dalam tempoh perjalanannya yang berbaki lapan bulan dari sekarang.
Hannah dalam reaksi balasnya berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu untuk bertemu dengan mana-mana atlet terutama yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris 2024, termasuk pelumba berbasikal.
“Pintu kita sentiasa terbuka dan semua persatuan sukan tahu mereka ada akses kepada MSN (Majlis Sukan Negara).
“Cuma sukar untuk saya respon setiap kali satu satu atlet layak ke Olimpik, kerana perjalanan (kelayakan) sedang berjalan. Tapi memang kita sebaik mungkin, kalau kita ada peluang, kita akan pergi berjumpa,” kata Hannah dalam sidang media selepas Majlis Perundingan Belia Negara, di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Hannah berkata, mana-mana atlet yang layak ke Olimpik perlu memahami proses pemilihan Program Road to Gold (RTG) kerana perkara itu saja belum mencukupi untuk mereka terpilih ekoran perlu menduduki ranking 10 terbaik dunia.
“Saya tahu mereka sudah ada nama yang diumumkan tetapi kelayakan itu, sama ada atlet itu dalam 10 teratas atau tidak, itu kita kena perincikan. Tapi tak bermakna semua yang layak ke Olimpik akan masuk ke RTG.
“Kumpulan dalam RTG itu, mereka ada sokongan podium ada yang kita bagi kepada semua yang layak ke Olimpik. Tetapi untuk RTG ini, ada proses temu duga untuk kita dengar apa lagi penambahan yang boleh memperkasakan lagi peluang mereka dapatkan pingat emas,” katanya. – UTUSAN