Ahmad Samsuri mahu kekal Menteri Besar  - Utusan Malaysia

Ahmad Samsuri mahu kekal Menteri Besar 

AHMAD Samsuri Mokhtar (tiga dari kanan) diumumkan sebagai calon Pas pada Majlis Pengisytiharan Calon Pas PRK Parlimen Kemaman di Chukai, malam tadi. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri yang dipilih sebagai calon Pas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman menganggap tiada keperluan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu sekiranya memenangi PRK itu, 2 Disember depan. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu berkata, beliau juga tidak perlu melepaskan jawatan tersebut sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman itu nanti kerana percaya mampu memikul tugas yang diamanahkan rakyat itu dengan baik.

Beliau yang dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu sejak 2018, berkata, pada penggal ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow juga merupakan  dalam kalangan Ahli Parlimen.

“Saya rasa tidak timbul (isu meletak jawatan) kerana terdapat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang (berkhidmat) di Parlimen masih mampu melaksanakan tugas sebagai Ahli Parlimen dan juga Menteri Besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas diumumkan sebagai calon Pas pada Majlis Pengisytiharan Calon Pas PRK Parlimen Kemaman di sini, malam tadi.

Pengumuman calon tersebut dibuat Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Ahmad Samsuri berkata, beliau percaya dapat mengetengahkan permasalahan rakyat di Kemaman dan seluruh Terengganu ke peringkat nasional sekiranya dipilih sebagai Ahli Parlimen Kemaman pada PRK ini.

“Kita akan bercakap permasalahan di Kemaman ke peringkat nasional dan  sebagai Menteri Besar bukan sekadar Kemaman, saya boleh membawa isu-isu berkaitan seluruh Negeri Terengganu, jadi tentulah peranan besar yang boleh dimainkan dan sangat memberi manfaat kepada rakyat, paling penting ianya dapat memberikan lebih nilai tambah kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar itu memberitahu, beliau menghormati calon yang bertanding dalam PRK Parlimen ini termasuk daripada calon Bebas.

Menurutnya, jentera Pas juga tidak boleh memandang rendah terhadap kemampuan setiap calon yang bertanding nanti.

“Secara peribadi saya menghormati mana-mana calon yang bertanding, tidak ada isu kita memandang dengan sebelah mata sahaja,” ujarnya.

Sementara itu, pada 13 November lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon BN bertanding di Parlimen Kemaman.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada 26 September lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Che Alias memenangi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi setelah meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru menyaksikan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab Ghani (506 undi). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya