PUTRAJAYA: Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengingatkan ahli parti supaya tidak terlalu lalai apabila diberikan jawatan kerana sebarang kesilapan bukan hanya ditangkap pihak berkuasa tetapi boleh dipecat daripada parti.
Menurutnya, kerajaan ketika ini bukan seperti kerajaan zaman dahulu di mana jika ada jawatan dalam kerajaan maknanya mereka akan jadi kaya-raya.
“Kita bukan zaman dulu-dulu, jika dahulu jika ada jawatan kerajaan maknanya kaya raya. Sekarang jika dapat jawatan dalam kerajaan, kamu salah sedikit bukan sahaja pihak berkuasa akan tangkap, tapi parti akan buang.
“Kalau dahulu mendapat jawatan dalam kerajaan pada umur yang muda, kerajaan itu akan kekal 20 hingga 30 tahun akan datang, namun,
zaman sekarang kerajaan tak tentu kekal dan lebih dari dua penggal pun.
“Zaman sekarang, kalau kamu dapat jawatan dan kamu ‘nakal’ (melakukan kesalahan). Dan sebab kamu ada dalam parti ini, memang akan senang sepanjang lima tahun tapi selepas itu kamu duduk kat ‘dalam’ (penjara),” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan di sini, hari ini.
Dalam pada itu, ditanya kenapa PKR bersifat defensif selepas menjadi kerajaan, Rafizi berkata, ia sesuatu yang lumrah bagi mana-mana parti politik yang menjadi sebahagian komponen kerajaan.
“Kalau dulu tiap-tiap hari kita bangun, kita menyampah lihat lawan kita dan tak payah disuruh serta tak payah dilatih, malah kita pandai-pandai buat (kritik kerajaaan pada masa itu).
“Mana-mana parti bila jadi kerajaan, dia jadi ‘reverse’ sebab kita sudah tak jadi marah sebab kawan-kawan kita sudah jadi menteri, malah presiden kita pun sudah jadi Perdana Menteri.
“Sekarang kalau kita bangun tidur kita akan tumpu benda-benda lain dan kita tidak buat dah yang dahulu (kritik kerajaan),” katanya.
Katanya, ketika ini, peranan Perikatan Nasional (PN) terutama Bersatu dan Pas juga sudah berubah apabila mereka kini sudah bergelar pembangkang. – UTUSAN