Ahli Parlimen Pasir Gudang mahu debat dengan Datuk Bandar isu

Ahli Parlimen Pasir Gudang mahu debat dengan Datuk Bandar isu kenaikan cukai pintu

HASSAN Abdul Karim (tengah) bergambar bersama peserta program Helping Hands, Helping Heart 2.0 UiTM Pasir Gudang dan penyerahan 40 bakul makanan Parlimen Pasir Gudang di Kampung Orang Asli Teluk Jawa, Pasir Gudang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membantah rancangan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) yang mahu menaikkan kadar cukai pintu sehingga kira-kira 40 peratus, bermula tahun depan.

Hassan berkata, tindakan sedemikian hanya akan meningkatkan beban ekonomi rakyat, apatah lagi selepas penguatkuasaan larangan meletak kenderaan di laluan awam turut dilaksanakan.

“Kenaikan cukai ini tidak wajar dengan peratusan terlalu tinggi ketika kos sara hidup meningkat. Baru-baru ini ditambah berita bahawa harga ayam diapungkan dengan subsidi disasarkan. Pada masa sama, gaji dan elaun golongan pekerja khususnya di daerah ini tidak meningkat.

“Saya terima banyak aduan daripada penduduk Pasir Gudang berhubung perkara ini, mereka minta saya suarakan kerisauan mereka kepada pihak terlibat,” katanya ketika mengulas tindakan MBPG menaikkan kadar cukai pintu sehingga 40 peratus pada tahun depan.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri program ‘Helping Hands, Helping Heart 2.0’ Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang dan penyerahan 40 bakul makanan Parlimen Pasir Gudang di Kampung Orang Asli Teluk Jawa, di sini hari ini.

Hassan yang juga merupakan bekas Pengerusi PKR Johor turut memberitahu, dia sedia berdebat dengan Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman berhubung perkara tersebut.

Katanya, tindakan sedemikian adalah untuk menyuarakan perasaan tidak puas hati dalam kalangan penduduk dan bagi mendengar hujah pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi pelaksanaan perkara tersebut.

“Saya minta semua Ahli Majlis MBPG dan juga Datuk Bandar untuk menilai semula pelaksanaan perkara ini kerana tindakan itu secara tidak langsung akan memberikan kesan negatif kepada kerajaan perpaduan.

“Kenaikan cukai ini perlu dibincang terlebih dahulu, jika ia dibuat secara beransur-ansur dengan kenaikan yang tidak mendadak sehingga 30 atau 40 peratus, mungkin penduduk boleh terima,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Kampung Kuala Masai, Mohamad Alhad Ngadimon, 54, pula memberitahu, pihaknya turut menerima aduan ramai penduduk kampung yang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka.

“Kenaikan ini agak tinggi, jika dahulu bayar cukai kira-kira RM200, tetapi tahun depan kena bayar hampir 50 peratus peningkatan. Jadi kami harap perkara ini dapat dipertimbang semula.

“Alasan diberikan MBPG adalah kerana kadar cukai tidak dinaikkan sejak 2014. Tetapi jika naik terlalu banyak dan ramai penduduk tidak bayar, bukankah itu akan menjadi masalah lain kelak,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya