PUTRAJAYA: Kedudukan kerusi seorang ahli Parlimen pembangkang tidak terjejas sekalipun mereka menyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, ini kerana tindakan itu tidak tertakluk di bawah undang-undang lompat parti kerana mereka tidak meninggalkan parti masing-masing.
Pensyarah Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, sebagai ahli Dewan Rakyat, wakil rakyat yang dipilih menduduki Dewan Rakyat perlu mematuhi sumpah mereka mengikut Jadual Keenam di bawah Artikel 59 (1) Perlembagaan Persekutuan.
“Jika seorang ahli Parlimen setakat menyatakan sokongan kepada kerajaan, ia tidak memberi kesan apa-apa. Ia hanya terjejas jika mereka meninggalkan parti.
“Sekalipun mereka dipecat dari parti masing-masing juga tidak terlucut sebagai ahli Parlimen. Sebagai wakil rakyat, mereka kena jaga kebajikan rakyat, itu termasuklah menyokong dasar kerajaan yang selari dengan Perlembagaan dan undang-undang negara, parti hanyalah satu platform untuk menjadi calon ahli perundangan dan menawarkan agenda tertentu,” katanya di sini semalam.
Perkembangan politik tanah air menyaksikan empat ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.
Ia selepas Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd. Azizi Abu Naim; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman serta terbaharu Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik turut berbuat demikian.
Selain empat nama berkenaan, beberapa nama lain didakwa hanya menunggu masa sesuai untuk menyokong Kerajaan Perpaduan sekali gus memberi tamparan kepada parti tersebut dan ada yang menyifatkannya sebagai karma ekoran tindakan mereka menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan melalui Langkah Sheraton pada Februari 2020. – UTUSAN