Ahli akademik perlu jadi inspirasi, rujukan hadapi cabaran semasa

Ahli akademik perlu jadi inspirasi, rujukan hadapi cabaran semasa – Anwar

MOHAMED Khaled Nordin (tengah) bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Anugerah Akademik Negara ke-15 di ibu negara malam tadi. UTUSAN/ FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli akademik perlu menjadi inspirasi dan rujukan masyarakat bagi menghadapi cabaran semasa, kata Menteri Pendidikan Tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim 

Beliau berkata, ahli sarjana bukan sahaja mengajar dan mendidik di peringkat pendidikan tinggi tetapi juga menjadi inspirasi yang disegani kepada rakan dan orang awam.

“Saya dengan rendah hati sangat berharap ahli-ahli akademik tempatan akan memainkan peranan menjadi peneraju akal dan pemikiran bangsa kita terutamanya dalam menggerakkan Gagasan Malaysia Madani sebagai satu etos nasional yang menyeru kepada kebaikan,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam ucapannya sempena Anugerah Akademik Negara Ke-15 di ibu negara malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pada malam tersebut, pakar penyakit berjangkit, Profesor Datuk Dr. Adeeba Kamarulzaman dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara.

Menurut Anwar lagi,  pegangan dan keterujaan terhadap ilmu dan kesarjanaan turut terhakis secara radikal melalui ketaksuban, pemikiran yang sempit, ideologi berpaksikan pada kemewahan material dan prinsip tidak konsisten.

Katanya, ia tidak termasuk pertembungan blok perdagangan, krisis alam sekitar, peperangan dan konflik berpanjangan.

“Kesemua ini memberi tempias yang besar kepada negara dan ia mesti kita uruskan dengan cara yang bukan sahaja berkesan dan strategik, tetapi pantas dan praktikal.

“Paling penting, segala kekacauan dan kerancuan ini menuntut ahli akademik untuk menebalkan rasa tanggungjawab kepada agenda pembinaan bangsa dan aspirasi nasional, bukan sahaja kepada pengembangan ilmu dan penyelidikan dalam bidang atau disiplin yang dikuasai,” katanya.

Justeru, katanya, ahli akademik harus gigih menguruskan segala kekacauan dan perubahan yang sedang dan akan berlaku bersama-sama dengan kerajaan dan pemimpin.

“Kita mesti bersama-sama mencari ikhtiar paling baik dan paling berkesan untuk menghasilkan dapatan ilmu dan pengetahuan yang berupaya meraikan daya usaha serta daya cipta rakyat tempatan ke arah kemajuan sosial serta budaya yang lestari.

“Apatah lagi dengan segala kelebihan teknologi dan kerancakan gelombang digital. Saya percaya, semua itu membawa kelebihan dan potensi yang boleh diadun untuk memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan dibawah pimpinannya a akan terus memberi dorongan dan dukungan kepada semua institusi pengajian tinggi khususnya dalam meneroka dan mewujudkan bidang-bidang pengajian baharu, termasuk bidang ekonomi, kesejahteraan dan kelestarian.

“Pengembangan dan pelebaran ufuk ilmu mesti menjadi agenda nasional yang kalis politik dan kepentingan diri.

“Malah, membangunkan suatu ekosistem pendidikan tinggi yang bertaraf global harus menjadi usaha berterusan. Kita mahu meletakkan Malaysia sebagai negara yang mengangkat dan menghormati ilmu,” katanya. –

Majlis Anugerah Akademik Negara pada malam ini mesti dilihat sebagai perkara yang besar sebenarnya meneruskan tradisi yang dimulakan oleh kerajaan Malaysia untuk meraikan kesarjanaan ahli akademik tempatan.

Masyarakat sentiasa memerlukan ikon kesarjanaan dan  teladan yang berketerampilan, berintegriti lagi berwibawa.

Biar apa pun lapangan yang kita ceburi, kehadiran ikon dan tokoh yang dihormati akan memangkin semangat dan kesungguhan dalam kalangan banyak pihak.

Paling penting, ahli-ahli akademik harus menjadi inspirasi kepada mahasiswa untuk melonjak potensi diri yang terbaik. Ahli-ahli akademik harus menjadi rujukan kepada anak bangsa kita untuk memberi yang terbaik kepada negara.

Semua proses ini memerlukan ahli sarjana, ikon pemikir dan sang murabbi yang bukan sahaja mengajar dan mendidik di peringkat pendidikan tinggi. Tetapi menjadi inspirasi yang disegani kepada rakan dan orang awam.

Saya dengan rendah hati sangat berharap ahli-ahli akademik tempatan akan memainkan peranan menjadi peneraju akal dan pemikiran bangsa kita terutamanya dalam menggerakkan Gagasan Malaysia Madani sebagai satu etos nasional yang menyeru kepada kebaikan.

Secara peribadi, saya akui dan berbangga dengan sumbangan ilmu oleh ahli-ahli akademik kita yang tidak terhad kepada sumbangan dalam ruang lingkup tempatan sahaja.

Ada pensyarah kita yang sudah biasa menjadi sarjana awam yang berkongsi ilmu, pengetahuan dan kepakaran mereka di pentas antarabangsa dan dengan negara-negara luar.

Atas dasar itu, memandangkan kita sedang berhadapan dengan arus zaman yang mencabar ini, harus wujud kesedaran bahawa kebanyakan masalah yang kita hadapi hari ini sebenarnya saling berkait.

Kata beliau, ia menuntut langkah yang serentak di pelbagai bidang dan sektor dan perlu diawali dengan ilmu dan pengetahuan yang sentiasa ditambah baik dalam kalangan ahli akademik.

Era yang sedang kita hadapi sekarang ini sarat dengan cabaran dan kekacauan. Cabaran dan kekacauan yang bukan sahaja menjadikan agenda kemajuan dan kemodenan sering bergelut dengan nilai dan moral yang baik.

Malah, pegangan dan keterujaan terhadap ilmu dan kesarjanaan turut terhakis secara radikal.

Ketaksuban dan pemikiran yang sempit, ideologi yang berpaksikan pada kemewahan material, prinsip yang tidak konsisten, semua ini terus merumitkan keadaan.

Itu belum lagi kita melihat semua ini dalam lensa global yang menyaksikan pelbagai pertembungan. Pertembungan blok perdagangan, krisis alam sekitar, peperangan dan konflik yang berpanjangan.

Kesemua ini memberi tempias yang besar kepada negara. Dan ia mesti kita uruskan dengan cara yang bukan sahaja berkesan dan strategik, tetapi pantas dan praktikal.

Paling penting, segala kekacauan dan kerancuan ini menuntut ahli akademik untuk menebalkan rasa tanggungjawab kepada agenda pembinaan bangsa dan aspirasi nasional. Bukan sahaja kepada pengembangan ilmu dan penyelidikan dalam bidang atau disiplin yang dikuasai.

Ahli akademik harus gigih menguruskan segala kekacauan dan perubahan yang sedang dan akan berlaku bersama-sama dengan kerajaan dan pemimpin.

Kita mesti bersama-sama mencari ikhtiar paling baik dan paling berkesan untuk menghasilkan dapatan ilmu dan pengetahuan yang berupaya meraikan daya usaha serta daya cipta rakyat tempatan ke arah kemajuan sosial serta budaya yang lestari.

Apatah lagi dengan segala kelebihan teknologi dan kerancakan gelombang digital. Saya percaya, semua itu membawa kelebihan dan potensi yang boleh diadun untuk memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara.

Dalam konteks ini juga, saya ingin memberi jaminan bahawa Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan saya akan terus memberi dorongan dan dukungan kepada semua IPT.

Khususnya dalam usaha meneroka dan mewujudkan bidang-bidang pengajian baharu, termasuk bidang ekonomi, kesejahteraan dan kelestarian.

Pengembangan dan pelebaran ufuk ilmu mesti menjadi agenda nasional yang kalis politik dan kepentingan diri.

Malah, membangunkan suatu ekosistem pendidikan tinggi yang bertaraf global harus menjadi usaha berterusan. Kita mahu meletakkan Malaysia sebagai negara yang mengangkat dan menghormati ilmu.

Semoga pemberian Anugerah Akademik Negara akan menjadi wahana berprestij yang berterusan dalam mengiktiraf dan meraikan jasa-jasa serta pencapaian ahli akademik Malaysia. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya