ROMPIN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian Pejabat Hutan Daerah Rompin yang baharu siap dibina sepenuhnya Jun lalu.
Pembinaan pejabat terbabit telah bermula pada November 2019 dengan perbelanjaan kos sebanyak RM4.5 juta dengan ciri-ciri reka bentuk terkini dan dilengkapi dengan kemudahan pejabat yang moden.
Baginda dalam masa sama turut berkenan merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2023 peringkat Negeri Pahang, di sini hari ini.
Keberangkatan baginda turut diiringi Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Nik Nazmi dalam ucapannya berkata, kerajaan telah menambah insentif kewangan bagi konservasi biodiversiti dan hutan (EFT) kepada RM200 juta pada tahun hadapan berbanding RM150 juta tahun ini.
“Sebagai kerajaan yang sangat prihatin kepada aspek pemuliharaan kepelbagaian biologi, langkah transformatif telah dipergiatkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 untuk mengukuhkan usaha membanteras pencerobohan, pembalakan haram serta pemburuan hidupan liar.
“Sejak 2019, negeri Pahang telah menerima peruntukan EFT sebanyak RM22.8 juta manakala sebanyak RM14 juta disalurkan untuk tahun ini justeru berharap peruntukan EFT ini dapat dimanfaatkan bagi melaksanakan program dan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan dan kepelbagaian biologi,” katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy dalam ucapannya pula berkata, kemudahan disediakan di pejabat hutan baharu terbabit dilihat secara tidak langsung dapat memberi suntikan dan dorongan semangat kepada kepada warga Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).
“Dengan pembinaan pejabat ini dapat memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan JPNP dalam pentadbiran dan pengurusan hutan daerah Rompin,” katanya.
Wan Rosdy sementara itu memberitahu, hasil penguatkuasaan JPNP, sebanyak hampir RM4 juta kutipan kompau telah berjaya diperolehi di mana sehingga 31 Oktober lalu, JPNP berjaya mengutip hasil sebanyak RM104.6 juta melebihi sasaran tahunan sebanyak RM100 juta.
“Berdasarkan prestasi ini, InsyaAllah menjelang hujung tahun ini sasaran kutipan hasil yang ditetapkan JPNP akan dapat dicapai,” katanya. – UTUSAN
AL-SULTAN ABDULLAH Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Hari Hutan Antarabangsa 2024 Peringkat Negeri Pahang dan Pejabat Hutan Daerah Rompin di Rompin, hari ini. Turut hadir Nik Nazmi Nik Ahmad (tiga dari kanan) dan Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kiri). – UTUSAN/NORHAFIZANZULKIFLI