Agong kurnia tujuh rumah Ru’Rasa di Rompin

Agong kurnia tujuh rumah Ru’Rasa di Rompin

AL-SULTAN ABDULLAH Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) berkenan berkunjung ke rumah milik Anita Ab. Kadir selepas berkenan mengurniakan kunci kepada tujuh penerima rumah Ru’Rasa di Kampung Janglau, Rompin. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyerahkan kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’Rasa) yang dibina dengan kerjasama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kepada tujuh penerima daerah ini, di Kampung Janglau, di sini hari ini.

Ini menjadikan sebanyak 124 rumah dari 178 buah rumah yang sedang dan akan dibina telah siap dibina sepenuhnya.

Baginda dalam titahnya menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada kerajaan negeri dan UAE atas pembinaan rumah untuk golongan memerlukan di negeri ini.

“Saya berpuas hati ada program seumpama ini. Dengan adanya program begini, saya dapat bertemu dan mendengar serta merasai bagaimana perasaan penghuni setelah mendapat sebuah rumah.

“Saya ingatkan kerajaan negeri pelbagaikan lagi rumah supaya rakyat Pahang dapat memiliki rumah dan lot tanah untuk mereka berkebun,” titah baginda.

Hadir sama Duta Besar UAE ke Malaysia, Dr. Mubarak Saeed Al Dhaheri dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam titah baginda, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan penerima agar menjaga rumah yang diterima sebaik mungkin.

“Dan saya menasihatkan jangan sekali-kali nak fikir nak jual, atau nak sewa. Ini bukanlah matlamat sebenarnya. Kita nak biarlah tinggal situ.

“Kalau nak cantikkan, nak perbesarkan itu hak tuan-tuan dan puan-puan. Tapi nak jual tolong jangan jual. Nak sewakan pun kalau boleh, jangan sewakan. Tinggallah di sini sampai ke tua esok hari,” titah baginda.

Sementara itu, seorang penerima, Anita Ab Kadri, 49, berkata, dia sangat bersyukur atau kurniaan rumah Ru’Rasa terbabit yang telah dinantikan sejak lebih 10 tahun lalu.

Ibu tunggal lima anak itu berkata, sebelum ini dia dan anak-anaknya pernah menyewa di pelbagai tempat termasuk kali terakhir pernah menyewa di sebuah rumah burung layang-layang dengan kadar sewa lebih RM100 sebulan.

“Sebelum ini saya dan anak-anak menyewa di rumah layang-layang sebab itu sahaja yang saya mampu dengan pendapatan saya sebagai pembantu kedai makan.

“Rumah sebelum ini anak-anak tidak selesa duduk sebab kadang kala ada ular masuk. Sekarang dapatlah anak-anak duduk dengan selesa,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia merasa sebak apabila mengenangkan arwah ibu dan arwah anak sulungnya yang meninggal enam tahun lalu tidak sempat merasa untuk menetap di rumah baharunya itu.

“Sedih bila ingatkan arwah mak dan anak yang tidak sempat melihat rumah ini. Arwah mak sentiasa berdoa supaya saya dapat rumah selesa kerana arwah melihatkan kesusahan saya selama ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya