AFIS, pemintas radio ciptaan pegawai bomba menang RM1 juta

AFIS, pemintas radio ciptaan pegawai bomba menang RM1 juta

PASUKAN Alor Setar Troopers diketuai Ahmad Naufal Abdullah (tiga kanan) bersama peranti AFIS serta piala dan sijil diterima mereka sempena AIPSA 2023 di Putrajaya ketika ditemui di BBP Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Inovasi peranti Sistem Pemintas Frekuensi Audio (AFIS) yang berupaya memintas frekuensi radio kenderaan di hadapan dinobatkan sebagai pemenang utama dalam Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023, baru-baru ini.

Sistem yang bermodalkan RM822 tersebut merupakan ciptaan enam pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, di sini yang turut melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1 juta.

Pasukan diketuai Ketua BBP Jalan Raja, Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah bersama Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Azizan Jusoh; PBK II Haidar Fathil; PBK II Haryady Mohd. Ashikin; PBK II Mohd. Daud Awang dan PB Mohd. Khairul Khuzaini Maula Abu Othman itu menggelarkan diri mereka sebagai Alor Setar Troopers.

Menurut Ahmad Naufal, AFIS berperanan untuk memintas frekuensi radio kenderaan yang berada di hadapan bagi memaklumkan kepada pemandu tentang kehadiran jentera bomba, ambulans atau kereta peronda polis dengan lebih awal. 

“Inovasi ini tercipta hasil pengalaman sendiri yang tersangkut dalam kesesakan menuju ke lokasi kemalangan atau kebakaran. Ada kalanya bunyi siren atau lampu beacon tidak sampai kepada kenderaan yang jauh di depan menyebabkan mereka tidak sedar kehadiran jentera.

“Melalui AFIS, agensi seperti bomba contohnya boleh memintas frekuensi radio kenderaan dalam jarak tertentu untuk memaklumkan kehadiran jentera di belakang agar pengguna jalan raya dapat memberi laluan dengan lebih pantas,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Penyampaian anugerah tersebut berlangsung pada 7 November lalu di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC). Sebanyak 313 projek dinilai oleh juri-juri terdiri daripada golongan profesional yang menganggotai Jawatankuasa Pemilihan AIPSA.

Tambah Naufal, AFIS sebenarnya boleh memintas frekuensi radio kenderaan lain pada jarak yang lebih jauh tetapi memadai bagi jarak 200 meter ketika ini untuk kegunaan jentera bomba dan agensi lain.

“Peranti ini amat berguna di bandar-bandar utama yang sesak. Penggunaan AFIS juga diyakini mampu membantu mengurangkan tempoh respon terhadap kes kecemasan seperti disasarkan sebelum ini iaitu daripada 10 kepada lapan minit,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, beberapa pihak yang telah mencuba keberkesanan AFIS memberi maklum balas baik dengan mereka juga menyatakan tidak sabar untuk menggunakan peranti itu bagi memudahkan urusan tugas masing-masing.

“Produk ini telah didaftarkan di Harta Intelek Malaysia (MyIPO) malah turut mendapat surat penghargaan daripada Taman Teknologi Malaysia (TPM). Maklum balas diterima daripada agensi kerajaan lain yang menguji AFIS ini turut positif.

“Kami juga pernah bawa peralatan ini kepada Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan mereka juga amat berminat dengan AFIS. Jika kena caranya, tidak mustahil ianya boleh dikomersialkan dan diketengahkan hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya