PETALING JAYA: Syarikat pengeluar makanan terkemuka, Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd. (Adabi) memperkenalkan produk baharunya, Kari Sardin Adabi dengan rasa yang lebih eksklusif dan menepati cita rasa masyarakat Malaysia.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Produk Adabi, Mohd. Azwar Aizam Anwar Ridhwan berkata, Kari Sardin Adabi itu menggabungkan keenakan produk Sardin Adabi dan kari ikan yang memenuhi citarasa pengguna.
“Jika sebelum ini Adabi mempunyai sardin dalam sos tomato bersama cili dan sardin dalam sos tomato, kini produk Kari Sardin bakal melengkapkan lagi kepelbagaian pilihan memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna,” katanya.
Kari Sardin Adabi ini juga merupakan satu-satunya produk Kari Sardin dalam tin di pasaran yang diyakini 100 peratus halal dan sedia dimakan.
“Produk keluaran Adabi kali ini kaya dengan Omega 3 (keperluan zat untuk kesihatan jantung, otak, mata dan tumbesaran) dan bebas bahan pengawet yang sesuai dinikmati oleh semua golongan dan peringkat umur,” katanya.
Bukan itu sahaja, Kari Sardin Adabi juga melalui proses Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan menggunakan ikan sardin Morocco dari Lautan Atlantik untuk jaminan kesegaran dan kualiti yang terbaik untuk ditawarkan kepada pelanggan.
“Dengan keupayaan teknologi R&D dan keupayaan kilang kami sendiri di Adabi, kami berupaya menghasilkan Kari Sardin yang dicipta khusus untuk rakyat Malaysia,” katanya.
Dengan berkonsepkan makanan dalam tin yang sedia dimakan, Adabi turut menyasarkan konsumer daripada golongan muda profesional dan kepada mereka yang berkeluarga kerana mudah untuk disediakan dan dihidang.
“Kami komited dalam membantu golongan muda terutamanya untuk memudahkan lagi mereka dalam menyediakan hidangan yang lazat kepada keluarga tercinta, dengan hanya dua minit, Kari Sardin Adabi sedia dinikmati,” katanya.
Kari Sardin Adabi juga sentiasa menjadi pilihan ramai pengguna kerana menjimatkan waktu penyediaan dan boleh terus dihidang tanpa perlu dimasak selain boleh disediakan dalam pelbagai menu masakan.
“Kelebihan produk Kari Sardin Adabi ia tidak perlu dimasak, hanya perlu buka tin dan boleh dihidangkan terus kepada pengguna,” katanya.
Kari Sardin ini juga boleh dihidangkan bersama roti dan dijadikan sebagai roti lapis (sandwich) atau dihidang bersama nasi dan roti.
Cara hidangan untuk Kari Sardin Adabi ini juga sangat mudah untuk dimasak, iaitu dengan hanya tuang Kari Sardin Adabi ke dalam periuk dan panaskan dengan api sederhana selama satu sehingga dua minit.
“Cara kedua, pengguna juga boleh menggunakan gelombang mikro dan panaskan selama satu sehingga dua minit dan siap untuk dihidang,” katanya.
Bagi mereka yang sentiasa menanti keluaran terbaharu produk Adabi, orang ramai boleh mendapatkan Kari Sardin Adabi di kedai-kedai runcit berhampiran seperti di rangkaian pasar raya besar seperti Mydin, Lotus, AEON Big seluruh negara.
Untuk makluman, produk pertama Adabi mula menemui rakyat Malaysia pada tahun 1984, dengan ciptaan serbuk kari Adabi seperti kari ikan, kari daging dan kurma.
Bermula dengan sebuah kilang kecil yang terletak di kawasan perusahaan ringan Batu Caves, Adabi melebarkan operasinya ke kilang yang lebih besar di kawasan industri Taman Kepong pada tahun 1986.
Ketika itu juga, Adabi mempunyai dua kilang tambahan di Taman Ehsan yang dibuka pada tahun 1990 dan 1992.
Adabi kini beroperasi di kawasan seluas empat ekar di Rawang Integrated Industrial Park sejak tahun 1996 yang sehingga kini merupakan ibu pejabat Adabi bagi menempatkan kilang pengeluaran produk, gudang, pejabat korporat dan kemudahan pentadbiran.
Untuk sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman www.adabi.com atau sertai https://Facebook.com/adabiMy instagram @adabi_consumer dan TikTok: adabiconsumer. – UTUSAN