KUALA LUMPUR : Pelakon, Sharifah Amani, 37, mengakui setahun mendirikan rumah tangga banyak pengalaman yang ditimba selain tidak menolak hakikat sebuah perkahwinan itu ada cabaran tersendiri.
Menurut Amani, jika sewaktu bujang dia hanya banyak mendengar kisah orang mahupun cuma belajar menerusi buku sahaja, namun pengalaman sebenar sebagai seorang wanita yang sudah bersuami adalah berbeza.
“Diam tak diam setahun sudah saya berkahwin. Alhamdulillah seronok. Saya fikir ada banyak yang perlu kami bertolak ansur. Banyak perkara saya belajar, selama ini saya baca daripada buku dan tengok dalam filem sahaja. Sekarang, saya sendiri melaluinya. Sebenarnya, susah juga ya.
“Jadi iya, perkahwinan adalah sesuatu yang mengagumkan. Kita sebagai manusia hendak berurusan antara satu sama lain pun susah, apatah lagi dengan seseorang yang tinggal bersama, insan yang berjanji untuk sehidup semati.
“Tetapi Alhamdullah, saya dikurniakan lelaki terbaik dalam hidup kini. Dia adalah imam, suami dan kawan. Ada susah dan cabarannya, tetapi perkahwinan itu menyeronokkan. Jadi saya bersyukur,” katanya.
Amani berkaya demikian semasa ditemui pada sidang media filem La Luna baru-baru ini.
Selain itu, kata Amani, Ahmed Fariz Amir, 35, baginya merupakan seorang lelaki yang sangat memahami dirinya dari pelbagai aspek.
“Pendek kata, dia memenuhi hati saya, saya sangat bertuah. Dia kelakar, bijak dan dia juga seorang pandai berdebat.
“Dia buat saya tenang dalam kekecohan yang berlaku dalam dunia sekarang. Tentang soal anak pula, macam saya pernah katakan kami serah pada Allah SWT. Lambat atau cepat kita serahkan padaNya,”katanya.
Dalam pada itu, kata Amani lagi, kasih sayang dan kemesraan ibu dan bapanya, Fatimah Abu Bakar dan Syed Zainal Rashid Al-Yahya juga banyak memberi inspirasi kepadanya dan suami sebagai pasangan yang baharu mendirikan rumah tangga.
Katanya, dia sentiasa menjadikan kedua orang tuanya itu sebagai contoh yang baik kerana mereka tidak cuma hadir di sisi masing-masing sebagai suami isteri, tetapi juga sebagai kawan baik.
“Mereka ada kehidupan sendiri, minat, perniagaan masing-masing, tetapi tetap berkawan baik.
“Macam mana pun papa akan cari mama, mama akan cari papa. Semua boleh berlaku tapi mereka akan tetap bersama,” katanya.
Untuk rekod, Amani dan Ahmed Fariz mendirikan rumah tangga pada tanggal 10 September tahun lalu.