Ada remaja ambil dadah seawal usia 9 tahun

Ada remaja ambil dadah seawal usia 9 tahun

SUTEKNO Ahmad Belon bertemu orang awam dalam Kempen Bersepadu Ke Arah Malaysia Bebas Dadah dan Jenayah Juvana 2023 anjuran Pertububan Pembasmian Jenayah Narkotik Malaysia (PJNM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penagihan dadah dalam kalangan remaja sekolah dan golongan belia berada pada tahap membimbangkan kerana ada pelajar seawal usia sembilan tahun sudah terjebak dengan aktiviti itu. 

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon berkata, jenayah narkotik dan masalah penyalahgunaan dadah di Malaysia sememangnya amat membimbangkan berdasarkan kajian-kajian dilakukan sebelum ini.

Beliau berkata, kajian mendapati remaja berusia 12 hingga 16 tahun adalah tempoh perkembangan yang signifikan peralihan risiko penyalahgunaan bahan terlarang tersebut. 

“Kajian prevalens penagihan dadah dan bahan dalam kalangan belia di Malaysia pada tahun lalu mendapati umur permulaan mengambil dadah atau majoriti yang mengaku mengambil dadah pada usia antara 15 hingga 20 tahun.

“Namun ada responden yang mengaku telah mengambil dadah seawal umur sembilan tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Bersepadu Ke Arah Malaysia Bebas Dadah dan Jenayah Juvana 2023 anjuran Pertubuhan Pembasmian Jenayah Narkotik Malaysia (PJNM).

Hadir sama Pengerusi PJNM, Datuk Zulkifly Ibrahim dan Ahli Lembaga Penasihat PJNM, Datuk Seri Prof Dr Mohamed Mydin Mohd Musa.

Sutekno berkata, laporan statistik AADK pada tahun lalu mendapati kategori umur tertinggi yang dikesan sebagai penyalahguna dan penagih dadah adalah berumur dalam lingkungan 19 hingga 39 tahun. 

Jelas beliau, golongan tersebut dikategorikan sebagai belia dan mewakili 65.9 peratus atau 81,112 orang daripada keseluruhan penyalahguna serta penagih dadah yang dikesan iaitu seramai 128,325 orang.

“Situasi ini membimbangkan kerana pada usia tersebut, kanak-kanak tidak memikir akibat dan kesan dadah sebaliknya pemikiran logik hanya dalam situasi konkrit. 

“Kita harus sedar bahawa golongan pelajar dan mahasiswa merupakan aset terpenting negara terutama dalam pembangunan masa depan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang dihormati,” ujarnya.

Untuk itu tegas beliau, usaha pencegahan berterusan perlu dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penagihan dadah daripada terus menular dalam masyarakat.

Menurut beliau, berdasarkan misi dan matlamat Dadah Terkawal 2025, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui AADK telah merancang pelbagai strategi selaras dengan Dasar Dadah Negara yang inklusif dan holistik.

“Ia bertujuan untuk memacu jentera kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) ke arah menangani permasalahan dadah di negara ini secara bersama.

“Pencegahan efektif yang boleh membantu usaha negara memerangi gejala dadah adalah menerusi institusi keluarga,” jelasnya.

Tambah beliau, peranan ahli keluarga bukan sahaja penting serta berkesan, malah ia satu ‘pelaburan’ terbaik bagi menyelamatkan nyawa dan generasi muda pemimpin negara masa depan.  –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya