PETALING JAYA: Selebriti serba boleh, Alif Satar, tidak pernah meletakkan syarat eksklusif untuk hanya bekerja dengan platform penstriman over-the-top (OTT) yang menyediakan bajet lebih mewah.
Menurut Alif atau Muhammad Alif Mohd Satar, 33, dia lebih cenderung menerima tawaran yang mesra khalayak sehingga membuatkan dirinya dikenali masyarakat di pedalaman.
“Bagi saya, terpulang kepada pilihan masing-masing untuk menerima tawaran platform OTT atau stesen televisyen. Tiada yang betul atau salah mengenai pilihan itu.
“Cuma jika kita mahu lebih rapat dengan khalayak umum sehingga orang kampung di ceruk Perlis kenal, stesen televisyen adalah platform yang baik.
“Kalau saya buat lagu pun saya akan fikir adakah orang kampung akan layan. Saya lebih cenderung begitu. Tapi terpulang kepada strategi bisnes masing-masing,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Perubahan teknologi membuatkan tawaran lakonan kepada penggiat seni generasi hari ini berbeza dengan pelakon sebelumnya. Menurut Alif, pelakon hari ini mungkin mempunyai strategi pemasaran baharu dengan target khusus untuk mengukuhkan jenama mereka.
“Cara saya masuk ke dalam bidang ini 17 tahun lalu mungkin berbeza dengan dunia sekarang. Waktu ini mungkin ada pelakon merasakan tawaran OTT lebih baik di samping boleh ditonton di seluruh dunia. Terpulang kepada mereka.
“Pihak OTT juga ada menawarkan projek kepada saya sebelum ini namun terpaksa saya tolak kerana bertindih dengan jadual lain.
“Kebetulan penggambaran projek drama bersiri itu banyak dilakukan dalam hutan, sukar saya mahu terima kerana faktor keluarga,” tambahnya.
Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa terdapat pelakon muda generasi ini hanya memilih tawaran daripada platform OTT kerana menawarkan bajet lebih besar berbanding drama rantaian stesen televisyen.