Abu Bakar dakwa ada pihak dalam Bersatu ‘tikam belakang’ - Utusan Malaysia

Abu Bakar dakwa ada pihak dalam Bersatu ‘tikam belakang’

ABU BAKAR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perlis, Abu Bakar Hamzah mendakwa ada pemimpin dalam parti itu cuba menikam beliau dari belakang sehingga tidak terpilih sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (Exco).

Tanpa berselindung, Abu Bakar menamakan Ketua Penerangan Bersatu negeri, Megat Hashirat Hassan dan Timbalan Pengerusi Bersatu negeri, Izizam Ibrahim sebagai dalang bagi menghalang pelantikannya untuk jawatan Exco.

Dakwa Abu Bakar, mereka mencatur agar Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli menolak pelantikannya bagi jawatan berkenaan walaupun beliau merupakan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) negeri.

“Saya akan ambil tindakan dan lapor dua dalang utama ini yang membelakangkan keputusan parti memandangkan nama saya telah dicadangkan sebagai Exco oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Exco yang berlangsung di Istana Arau, di sini, hari ini.

Menerusi pelantikan Exco penggal ini, Abu Bakar mendakwa sekali lagi dinafikan pelantikan jawatan berkenaan dan digantikan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Wan Zikri Afthar Ishak.

Dalam pada itu, Abu Bakar turut membidas pelantikan Wan Zikri berkenaan memandangkan beliau masih muda malah mendakwa tidak memegang sebarang jawatan dalam Bersatu negeri.

“Wan Zikri masih usia muda dan tak ada jawatan dalam Bersatu negeri sedangkan saya adalah Timbalan Pengerusi PN negeri.

“Malah kalau dilihat pada masa kini 95 peratus dalam pentadbiran hari ini adalah wakil Pas dan bukannya Bersatu,” katanya.

Di samping itu, Abu Bakar berkata, pihaknya sebelum ini juga pernah memanggil Megat Hashirat dan Izizam untuk mengikuti mesyuarat parti itu sebanyak empat kali namun tidak dihadiri oleh pihak terlibat.

Katanya, situasi yang berlaku itu secara jelas menunjukkan wujudnya cubaan pihak tertentu untuk menjatuhkan beliau menjelang pemilihan parti tidak lama lagi.

“Ada pihak tertentu tidak selesa dengan saya sebagai ketua dan melakukan cubaan tertentu bagi menjatuhkan saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya