TAIPING: Lebih 9,000 peserta menyertai acara larian sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah tahun ini yang diadakan di bandar Taiping hari ini.
Pada sambutan sebelum ini, acara itu dilangsungkan di Bandar Diraja Kuala Kangsar namun untuk sambutan tahun ini, Sultan Nazrin memberi perkenan untuk acara larian diadakan di Daerah Larut, Matang dan Selama.
Acara larian bermula pada pukul 7 pagi di Dataran Warisan dan berakhir di Padang Esplanade di sini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim dan puteri baginda berdua, Raja Nazira Safya dan adinda Sultan Nazrin, Raja Yong Sofia.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Saidi Abdul Rahim; Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri dan Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh.
Sultan Nazrin berkenan melepaskan peserta larian bagi kategori jarak 15 kilometer, disusuli pelepasan peserta bagi jarak larian 10km.
Empat kategori acara larian dipertandingkan iaitu kategori lelaki dan wanita terbuka untuk jarak 15km dan 10 kilometer, kategori pelajar sekolah menengah dan rendah dengan jarak tujuh dan tiga kilometer.
Larian melibatkan peserta orang kenamaan turut diadakan.
Persembahan tarian kebudayaan pelbagai kaum diadakan di sepanjang laluan larian termasuk persembahan oleh pancaragam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), juga persembahan silat, tarian singa dan persembahan angklong.
Pameran ketenteraan dan demonstrasi terjun bebas juga diadakan di Padang Esplanade. – UTUSAN