90 peratus pesara tentera dikategori miskin tegar - Utusan Malaysia

90 peratus pesara tentera dikategori miskin tegar

SHARUDDIN OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 315,000 atau 90 peratus vete­ran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima pencen RM1,083.97 sebulan.

Ia sekali gus meletakkan mereka di bawah kategori miskin tegar iaitu RM1,198 berdasarkan nilai Paras Garis Kemiskinan (PGK) nasional.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM), Kapten (B) Datuk Sharuddin Omar berkata, pesara veteran ATM amat terkesan dari aspek sosioekonomi dan kehidupan seharian apabila kerajaan enggan melaksanakan pelarasan pencen.

Jelasnya, majoriti pencen bulanan veteran ATM adalah terlalu rendah yang mana pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) harus faham perbezaan syarat-syarat perkhidmatan ATM yang berlainan dengan sektor awam.

“Kesemua mereka sekarang telah berusia di antara 52 sehingga 99 tahun yang mana hampir 80 peratus berada dalam kategori warga emas iaitu berumur 60 tahun dan ke atas dan di penghujung usia.

“Perbezaan kadar pencen di antara orang baru dan orang lama (pesara sebelum dan selepas 1 Jan 2013) adalah di antara 26 peratus hingga 45 peratus mengikut kategori pangkat ma­sing-masing.

“Saya mengambil contoh seorang sarjan Tentera Darat berbangsa Tionghoa berusia 85 tahun yang sekarang menetap di Taman Kamunting, Taiping, Perak. Beliau bersara pada 1 Ja­nuari 1979 tetapi menerima pencen RM1,198.59 sebulan, ia­itu di bawah PGK miskin tegar,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, daripada 134,682 orang jumlah veteran ATM, seramai 132,006 orang (98.01 peratus) di bawah kategori B40 yang mana anggaran itu berpandukan kepada data pencen berakhir 31 Disember 2022.

Selain itu beliau berkata, jumlah pencen yang wajar bagi veteran ATM adalah minimum RM2,208 sebulan iaitu bersamaan dengan nilai PGK, yang mana pencen minimum veteran ATM ketika ini adalah RM1,083.97 sebulan bagi yang berpangkat prebet dan berkhid­mat selama 21 tahun sebelum bersara.

Dalam pada itu Presiden Persatuan Pegawai-pegawai Bersara Angkatan Tentera (Rafoc), Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Abd. Aziz Ibrahim berkata, sebanyak 90 peratus (315,000 orang) daripada 350,000 ve­teran ATM mempunyai pendapatan di bawah RM2,000.

“Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan ve­teran ATM miskin antaranya sosio-ekonomi, sokongan badan-badan berkanun dan pihak swasta untuk memberi peluang kerja dan iltizam kerajaan mengiktiraf veteran.

“Selain itu, isu penyelarasan pencen adalah salah satu isu yang mana ia antara keresahan dan sebahagian daripada isu-isu yang membelenggu veteran ATM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya