86 pemborong, 162 peruncit terpilih diberi kelulusan simpan barang kawalan - Utusan Malaysia

86 pemborong, 162 peruncit terpilih diberi kelulusan simpan barang kawalan

ARMIZAN Mohd. Ali (dua, kiri) menyantuni mangsa banjir semasa melawat PPS SK Atas Tol, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sebanyak 86 pemborong terpilih daerah (DDW) dan 162 peruncit terpilih daerah (DDR) di seluruh Terengganu diberi kelulusan untuk menyimpan barang kawalan melebihi 30 peratus daripada had simpanan lesen sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) ini.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pihaknya memberi kelulusan itu agar tiada sebarang isu berkaitan kekurangan barangan keperluan asas timbul sepanjang tempoh banjir melanda negara.

“Dalam melaksanakan pelan kontingensi banjir itu, KPDN telah melantik rantaian pengedaran di peringkat pemborong dan peruncit bagi menambah stok barang kawalan berjadual yang terkandung dalam lesen barang-barang kawalan berjadual (CSA).

“DDW dan DDR yang dipilih dibenarkan menyimpan stok sehingga 30 peratus daripada had simpanan lesen CSA sehingga berakhir tempoh MTL pada bulan Mac 2024,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Atas Tol, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) berkata, semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) yang terbabit dengan banjir disarankan untuk mengemas kini senarai ketua isi rumah (KIR) yang terlibat serta-merta. 

“Rekodkan maklumat KIR yang terlibat secepat mungkin, dapatkan pengesahan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), selaraskan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk senarai tersebut diteliti bagi memudahkan saluran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan peruntukan asas kepada agensi di peringkat negeri yang boleh digunakan serta-merta untuk menyalurkan BWI kepada KIR sebaik sahaja senarai nama itu telah disemak dan disahkan. 

“NADMA akan menyalurkan peruntukan tambahan BWI sekiranya diperlukan berdasarkan jumlah KIR yang terlibat banjir,” katanya.

Selain itu, beliau juga menegaskan tiada kompromi terhadap apa juga kes jenayah atau seksual yang berlaku di PPS dan pihak berkuasa akan meningkatkan pemantauan untuk memastikan keselamatan semua mangsa yang berlindung di PPS sentiasa terbela.

“JKM, Polis Diraja Malaysia dan semua agensi yang berada di PPS  akan bertindak segera terhadap sebarang aduan yang dikemukakan mangsa banjir agar tiada perkara tidak diingini berlaku,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN