80 peratus bekas banduan PBSL kekal bersama majikan

80 peratus bekas banduan PBSL kekal bersama majikan

SAZELI Mohd. Noor bercakap kepada pemberita pada PBSL Ihsan Madani di Penjara Sungai Udang, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kira-kira 80 peratus bekas banduan Penjara Sungai Udang yang terlibat dengan Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) kekal bekerja bersama majikan mereka.

Timbalan Penguasa Penjara di Penjara Sungai Udang, Sazeli Mohd. Noor berkata, angka itu membuktikan kejayaan program Jabatan Penjara dalam membentuk potensi diri banduan.

Kata beliau, sebelum ini banduan hanya menjalani hukuman berorientasikan disiplin, keagamaan dan kemahiran tetapi mereka tidak diberi peluang untuk mendapatkan pekerjaan sejurus dibebaskan.

“Mereka berasakan sukar untuk mendapat pekerjaan selepas dibebaskan dan alasan itu digunakan untuk kembali kepada jenayah lama atau penagihan dadah. Setelah PBSL dilaksanakan, bekas banduan yang kembali semula ke penjara sangat rendah.

“Setakat ini tiada bekas banduan yang bebas secara PBSL masuk semula ke Penjara Sungai Udang. Sebanyak 80 peratus bekas banduan kekal dengan majikan masing-masing manakala bakinya memilih untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung.

“Contohnya ada seorang bekas banduan yang dahulu bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah resort terkemuka di negeri ini tetapi kini telah menjadi kapten (ketua) di sana,” katanya ketika ditemui pada PBSL Ihsan Madani di Penjara Sungai Udang di sini, semalam.

Sementara itu, kakitangan sumber manusia sebuah syarikat, Mas Aini Muhamad berkata, setakat ini pihaknya telah mengambil seramai lapan bekas banduan wanita untuk bekerja di sebuah restoran di Ayer Keroh.

Menurutnya, dia tidak menghadapi sebarang masalah apabila menguruskan bekas banduan, sebaliknya mereka menunjukkan prestasi kerja sangat baik.

“Mereka sangat berdisiplin dan cepat tangkap apabila belajar kemahiran baru. Justeru, setiap bekas banduan wajar diberikan peluang kedua untuk bersama-sama dengan komuniti masyarakat.

“Pesanan saya kepada majikan lain agar tidak perlu takut atau bimbang untuk mengambil bekas banduan bekerja. Beri peluang dan bantu mereka untuk membina hidup baharu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya