7,664 individu lulus lesen memandu percubaan - Utusan Malaysia

7,664 individu lulus lesen memandu percubaan

ROSPIAGOS Taha (tiga dari kanan) bergambar bersama penerima lesen memandu pada  Program MyLesen peringkat Negeri Terengganu di SM Seri Nering, Besut, hari ini. - UTUSAN/ WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Seramai 7,664 individu telah berjaya lulus mendapatkan lesen memandu percubaan atau lesen P menerusi program MyLesen B2 yang dilaksanakan di seluruh negara sejak Mei sehingga hari ini.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Rospiagos Taha berkata, jumlah itu adalah daripada 9,000 penerima golongan B40 di seluruh negara yang telah diumumkan kerajaan melalui Belanjawan 2023.

“Kita jangkakan bakinya akan dapat disempurnakan sepenuhnya sehingga hujung tahun ini dan jumlah yang tinggal ini adalah mereka yang masih dalam proses mengikuti kelas atau terpaksa mengulang ujian kembali.

“Diharap mereka akan mengunakan lesen ini untuk kegunaan harian masing-masing.. Sama ada menjana ekonomi pendapatan mahupun kemudahan-kemudahan ke sekolah dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Lesen Memandu di bawah Program MyLesen peringkat Negeri Terengganu di Sekolah Menengah (SM) Seri Nering di sini, hari ini.

Tegas Rospiagos,  program MyLesen (B2) bukan pemberian ‘lesen terbang’ tetapi merupakan inisiatif kerajaan membantu golongan sasar yang tidak berkemampuan.

Jelasnya, semua peserta terlibat perlu melalui proses penuh seperti syarat yang telah ditetapkan kepada semua individu yang mengambil lesen memandu.

Sementara itu, di Terengganu pula, seramai 897 orang peserta menerima manfaat daripada program MyLesen B2 dan daripada jumlah itu 514 calon telah layak mendapat lesen P.

Seorang penerima, Muhammad Afif Hafizuddin Mohd. Yatim, 17,  program MyLesen bukan hanya membantu memudahkan dirinya memperoleh lesen B2 malah turut meringan beban yang ditanggung.

“Bila dapat lesen ini memudahkan saya untuk ke sekolah, sebelum ini tiada lesen ayah terpaksa menghantar saya. Selain ke sekolah saya dapat bantu hantar ibu dan ayah saya keluar berniaga tanpa rasa takut lagi, ” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya