IPOH: Seramai 72 pemain akan berentap dalam kejohanan Tenis Sanctband ITF World Tennis Tour M15 Pusingan 2 berlangsung di Arena Tenis Perak di sini pada 20 hingga 26 November ini.
Presiden Persatuan Lawn Tenis Perak (PLTP), Fazwil Abdul Wahid berkata, pemain-pemain itu dari 18 negara yang sudah mengesahkan penyertaan mereka.
Negara itu adalah Poland, England, New Zealand, Jepun, Thailand, Korea, China, India, Indonesia, China Taipei, Switzerland, Jerman, Belanda, Republik Czech, Australia, Perancis dan Malaysia.
Pemain-pemain Malaysia seperti Mitsuki Leong Wei Kang, Koay Hao Sheng, Imran Daniel Abdul Hazli, Darrshan Suresh Kumar, Daniel Leong Prickett serta ramai lagi menyertai kejohanan ini.
“Darrshan baru-baru ini muncul juara acara beregu di Kejohanan Tenis ITF World Tennis Tour Juniors J60 yang berlangsung di sini bulan lalu.
“Penyertaan mereka bukan sekadar meramaikan penyertaan pemain Malaysia tetapi membolehkan mereka menimba pengalaman berharga bertemu pemain antarabangsa,” katanya.
Fazwil berkata, kejohanan adalah penting untuk pembangunan pemain tempatan serta promosi sempena Tahun Melawat Perak 2024. – UTUSAN