600 penuntut Palestin dikecuali yuran

600 penuntut Palestin dikecuali yuran

MOHAMED Khaled Nordin mendengar penerangan ketika melawat tapak pameran Forum Pendidikan Tinggi Global 2023 di Sepang, Selangor, semalam. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengecualikan bayaran yuran pengajian kepada lebih 600 pelajar Palestin yang menuntut di pelbagai peringkat di universiti awam negara ini bagi tempoh setahun berkuat kuasa serta-merta.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketika ini, KPT turut berbincang dengan pihak universiti swasta untuk berbuat sedemikian.

Katanya, kementerian juga sedang mempertimbang untuk memberi elaun bulanan selama setahun kepada semua pelajar Palestin di universiti awam dan universiti swasta dengan kesemua inisiatif pengecualian yuran dan elaun bulanan itu akan melibatkan kos kira-kira RM20 juta hasil sumbangan daripada universiti awam, swasta dan orang ramai.

“Sekarang ini (di Malaysia) terdapat lebih kurang 800 pelajar Palestin yang mana lebih 200 pelajar berada di universiti swasta dan (selebihnya) berada di universiti awam di pelbagai peringkat pengajian.

“Kita sedang menimbang usaha-usaha untuk membantu mereka dalam masa setahun ini dan sedang berunding dengan pihak universiti swasta bagi memastikan pengecualian yuran kepada pelajar-pelajar ini,” katanya selepas merasmikan Forum Pendidikan Tinggi Global (GHEF) 2023 di sini, semalam.

Forum tiga hari itu melibatkan penyertaan hampir 1,000 perwakilan daripada 17 negara sebagai platform untuk pelbagai pihak berkepentingan membincangkan isu-isu yang dihadapi ekosistem pendidikan tinggi bertemakan Pemulihan Ekuiti – Pendidikan Tinggi Dalam Era Pasca Pandemik Covid-19.

Mohamed Khaled berkata, inisiatif pengecualian bayaran yuran pengajian tersebut sudah berada di peringkat akhir perbincangan dan KPT bakal mengumumkan jumlah sebenar kos dalam masa terdekat.

Katanya, KPT memberi perhatian terhadap kesan yang dihadapi oleh penuntut-penuntut terbabit susulan peperangan yang sedang berlaku di Gaza.

“Kita sedia maklum di Malaysia memang mempunyai pelajar Palestin dan sudah tentu mereka antara yang terkesan secara langsung daripada apa yang berlaku di negara tersebut.

“Maka kita sedar keadaan pembelajaran mungkin terputus dan mereka mungkin tidak lagi dapat sokongan pembiayaan daripada keluarga atau penaja.

“Insya-Allah kita doa supaya keadaan di Gaza kembali pulih dan juga di Tebing Barat supaya tidak lagi berterusan berlaku keganasan dan penganiayaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN