GEORGE TOWN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu menahan enam suspek lelaki termasuk dua warga Thailand dalam operasi di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah, semalam kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak diesel subsidi ke Thailand.
Dalam operasi kira-kira pukul 7.30 pagi itu, polis turut merampas empat lori tanker serta minyak diesel yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM1.2 juta yang dipercayai cuba diseludup ke negara berkenaan.
Timbalan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Superintenden Rohizan Mohamad Saaid berkata, polis menjalankan serbuan ke premis perniagaan di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam yang dipercayai digunakan sebagai tempat penyeludupan minyak diesel ke Thailand.
“Ketika serbuan empat suspek lelaki tempatan serta dua suspek lelaki Thailand berusia 23 hingga 60 tahun berada di dalam premis berkenaan.
“Dua lelaki Thailand ini dipercayai menjadi pemandu lori tanker dan mereka membawa minyak diesel yang telah diseludup untuk dijual di negara berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, di sini hari ini.
Menurutnya, dalam operasi itu polis merampas 131,040 liter minyak diesel berjumlah RM543,816 selain menyita empat lori tanker, pam minyak, hos paip dan nozel hos pam yang keseluruhannya berjumlah RM1.2 juta.
Jelas beliau, siasatan awal mendapati sindiket itu aktif sejak empat bulan lalu dan ahli sindiket mendapatkan minyak diesel dari stesen minyak di Kedah dan Perlis.
“Ahli sindiket akan mengisi minyak diesel subsidi menggunakan lori jenis ‘bounded‘ sebelum memindahkannya ke lori tanker yang diletakkan di premis perniagaan di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam.
“Mereka beroperasi di kawasan yang tertutup bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” katanya.
Tambahnya, kesemua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.
”Kes ini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – UTUSAN