KUALA NERUS: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengenal pasti 5,648 lokasi berisiko dilanda banjir pada sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula bulan ini sehingga Mac tahun depan.
Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Aminurrahim Mohamed berkata, jumlah ‘hotspot’ di seluruh negara itu dikenal pasti selepas lokasi tersebut mengalami banjir tidak kurang tiga kali dalam tempoh tiga tahun terkini.
Menurut beliau, Sarawak merekodkan kawasan ‘hotspot’ tertinggi dengan 1,066 lokasi diikuti Sabah (798), Pahang (750), Johor (745), Kelantan (617), Perak (286) dan Selangor (271).
Selain itu, katanya, sebanyak 260 lokasi berisiko banjir turut dikenal pasti di Kedah, Terengganu (258), Pulau Pinang (241), Melaka (124), Negeri Sembilan (120), Kuala Lumpur (73), Perlis (22) dan Labuan (17).
“Selain banjir, kawasan ‘hotspot’ ini juga dinilai berdasarkan risiko kejadian tanah runtuh atau kepala air dengan ada lokasi yang mungkin dilanda salah satu daripada tiga kemungkinan berkenaan.
“Penduduk di kawasan berisiko dinasihat mematuhi arahan pihak berkuasa selain peka dengan amaran cuaca daripada Jabatan Meteorologi Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
“Serami 61,839 anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), APM serta Rela juga berada dalam siap siaga menghadapi MTL,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penganugerahan Watikah Pegawai Bersekutu, Pingat, Riben Perkhidmatan Serta Sijil APM Negeri Terengganu di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau menambah, APM telah melaksanakan 6,266 siri latihan dengan penglibatan seramai 350,474 peserta di seluruh negara membabitkan orang awam dan komuniti setempat sejak Januari lalu.
Katanya, langkah itu bagi mengurangkan risiko bencana melalui latihan pelajaran, pameran, ceramah, demonstrasi serta latihan Pasukan Sukarelawan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT).
“Jumlah penyertaan itu melepasi sasaran penglibatan 330,000 orang awam setiap tahun sejak program bersama komuniti aktif pada 2020 bertujuan memberi pengetahuan kepada masyarakat.
“Latihan persediaan bencana ini perlu dibuat bagi melatih orang awam terutama di lokasi berisiko menghadapi sebarang kecemasan yang boleh mengancam nyawa dan harta benda,” jelasnya. – UTUSAN