BANDUNG: Seramai 56 pemain golf amatur dari Malaysia boleh dikatakan bertuah kerana menjadi penumpang pertama penerbangan sulung Malaysia Airlines ke Kertajati di sini, pada 30 Oktober lalu.
Kesemua pemain yang berasal dari Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Kelantan, Johor dan Melaka itu menyertai pertandingan Leisuremania Golf yang diadakan di Bandung bersempena dengan penerbangan sulung Malaysia Airlines ke Kertajati.
Mereka ditawarkan pakej penginapan lima hari empat malam serta berpeluang bermain di tiga kelab golf berbeza di sekitar Bandung seperti Mountain View Golf Resort, Jatinangor National Golf & Resort dan Parahyangan Golf.
Pengurus Malaysia Airlines di Indonesia, Abdul Razak Ab. Hamid berkata, pihak Malaysia Airlines cukup menghargai kerjasama yang ditunjukkan oleh Leisure Golf Services (LGS) dan Komuniti Golf Melayu Malaysia (KGMM).
Katanya, LGS dan KGMM memainkan peranan penting dalam menjayakan penganjuran Leisuremania Golf, sekali gus memeriahkan pelancaran penerbangan sulung Malaysia Airlines ke Kertajati.
“Kita dari pihak Malaysia Airlines tidak akan terhenti setakat ini kerana selepas ini akan ada lagi acara lain yang kita akan anjurkan dan kita harap akan dapat sambutan lebih meriah lagi selepas ini,” ujarnya ketika ditemui Utusan Online selepas majlis penyampaian hadiah kepada para peserta yang diadakan Hotel Grand Dafam Braga, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Presiden KGMM, Safian Abdullah berkata, memandangkan kejayaan siri pertama pertandingan Leisuremania Golf di Bandung ini, pihaknya bercadang menambahkan lagi penyertaan ahli-ahli KGMM.
Katanya, pertandingan golf secara libur ini kali ketiga diadakan bersama LGS selepas di Jakarta dan Bogoraya, dan pada siri Leisuremania Golf kali ini, ia kali pertama kita mendapat kerjasama daripada Malaysia Airlines.
“Memandangkan kerjasama yang baik dari Malaysia Airlines dan LGS, KGMM bercadang untuk buka ruang lebih banyak penyertaan kepada ‘golfer’. Sambutan sangat baik untuk acara ini, respons juga sangat banyak tapi ruang penyertaan adalah terhad.
“Sekarang ada lebih kurang 40 penyertaan, jadi lain kali mungkin kita sasar 60 hingga 80 penyertaan. Ini kerana ada kekangan pihak di sini termasuk pihak kelab golf kerana kita perlu buat permintaan terlebih dahulu sebelum menerima penyertaan,” katanya
Safian juga mengajak lebih ramai pemain golf amatur dari Malaysia untuk terlibat dalam acara ini walaupun belum menjadi ahli.
“Di masa akan datang, kita akan buat besar lagi. Walaupun bukan ahli tapi kami terbuka dan hubungi kami.
“Kita pun sudah mula wujudkan komuniti golfer yang ada di Bandung dan Indonesia untuk memudahkan kerjasama di masa akan datang antara pemain golf amatur Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Dalam pada itu, Safian berkata, KGMM memilih untuk bekerjasama dengan Leisure Golf Services disebabkan kualiti perkhidmatan yang disediakan syarikat agensi pelancongan itu.
“Kita sudah bekerjasama dengan Leisure Golf sudah memasuki tahun keempat dan kali ini kita fokus kepada siri Leisuremania Golf.
“Leisure Golf jadi pilihan sebab senang berurusan dan semuanya on time ‘menepati masa’, mudah dan selesa untuk kami,” katanya.
Juara Leisuremania Golf kali ini dimenangi oleh Abdul Halim Ismail manakala tempat kedua dimiliki oleh Noor Hassan Hussain.
Tempat ketiga menjadi milik Azhar Ahmad dan keempat dimenangi oleh Imran Mohamad Nor. – UTUSAN