ARAU: Seramai 484 graduan menerima ijazah melibatkan siswazah Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE) yang disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor Unimap semalam.
Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyaksikan sesi penyerahan surat tawaran kepada pelajar dari Palestin Mohanad B.A Qubtan selepas selesai istiadat berkenaan.

Mohanad berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang Kejuruteraan Mekatronik selama empat tahun di Unimap dan sepanjang tempoh pengajiannya, dia tidak pulang ke Gaza, Palestin bagi menumpukan perhatian dalam pembelajaran di samping menghadapi kekangan kewangan.
Naib Canselor Unimap, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli berkata, Unimap akan menaja elaun bulanan Mohanad selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diumumkan baru-baru ini.
“Saya percaya pendidikan adalah kaedah terbaik bagi mengatasi segala permasalahan dan marilah kita sama-sama mendoakan Palestin kembali aman malah saudara kita ini dapat pulang bertemu keluarganya,” katanya sewaktu berucap selepas sesi pengurniaan ijazah pada Sidang Ketiga Istiadat Konvokesyen Ke-18 Unimap di Dewan Ilmu di sini, semalam.
Katanya, Unimap sedia menaja pelajar Palestin yang bergraduasi pada sidang tiga istiadat konvokesyen universiti itu ke-18 bagi menyambung pengajian selepas ini.
Bagi tujuan itu, Unimap menawarkan Mohanad menyambung pengajian Sarjana Sains Kejuruteraan Mekatronik di universiti berkenaan.
“Pendidikan adalah kaedah terbaik bagi mengatasi segala permasalahan dan marilah kita sama-sama mendoakan Palestin kembali aman malah saudara kita ini dapat pulang bertemu keluarganya,” katanya.
Beliau turut berharap supaya adiknya dapat melanjutkan pengajian di Unimap memandangkan institusi tempat dia belajar di Gaza sudah musnah dibom.
Sementara itu, Zaliman berkata, sebagai seorang graduan universiti, para graduan merupakan duta dalam sesebuah komuniti dan perlu menunjukkan teladan yang baik terhadap masyarakat dalam usaha mengajak mereka untuk lebih berhati-hati menerima maklumat dan sentiasa memastikan kesahihan sumber.
Katanya, jika terdapat sebarang penyebaran berita dalam komuniti, mereka perlu mendapatkan sumber yang sahih dan berani menegur jika melibatkan penularan berita palsu, demi untuk menegakkan kebenaran.-UTUSAN