404.7 hektar tanah bakal dibangun di Pulau Indah - Utusan Malaysia

404.7 hektar tanah bakal dibangun di Pulau Indah

Pulau Indah
AMIRUDIN Shari melakukan gimik perasmian kilang baharu UMW Lubetech Sdn Bhd dan pelancaran bungkusan baharu minyak pelincir Grantt dekat Pulau Indah, Pelabuhan Klang di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kerajaan negeri mengenal pasti kira-kira 404.7 hektar tanah dekat Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di sini untuk dibangunkan dengan projek perkilangan oleh pelabur dalam dan luar negara selepas peningkatan infrastruktur bekalan air dilakukan.

Pembangunan infrastruktur itu melibatkan jajaran paip air dari Lipat Kajang, di sini ke Pulau Indah untuk meningkatkan agihan bekalan air bagi memenuhi keperluan pengguna domestik dan industri di kawasan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, penjajaran paip air itu membolehkan kehadiran lebih ramai pelabur-pelabur ke negeri ini di samping perancangan kerajaan negeri untuk menambah baik kualiti jalan serta aliran trafiknya.

“Ini membuktikan kita masih lagi pusat tarikan (pelabur) dan apabila saya maklumkan tentang paip air dari Lipat Kajang ke Pulau Indah, kita akan unlock kira-kira 1,000 ekar (404.7 hektar) tanah yang dulu sudah kita kenal pasti sebelum ini tak dapat berfungsi kalau tidak dapat cukup bekalan air.

“Jadi, just nice in two years time jajaran paip untuk Pulau Indah itu akan siap dan dalam masa sama, projek-projek dekat tapak-tapak di sini juga akan mula dijalankan dan berfungsi untuk dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Kilang Baharu UMW Lubetech Sdn Bhd dan Pelancaran Bungkusan Baharu Grantt, hari ini.

Beliau menambah, Kementerian Kerja Raya bersetuju untuk menambah peruntukan di samping RM50 juta diluluskan baru-baru ini bagi menambah baik kualiti jalan raya di sini untuk kegunaan kenderaan kargo.

Terdahulu, Amirudin dalam Belanjawan Selangor 2024 memaklumkan projek jajaran paip ke Pulau Indah yang menelan kos kira-kira RM300 juta akan dilaksanakan Syarikat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) secara Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengecualian visa selama 30 hari bagi negara-negara seperti di Timur Tengah akan membantu meningkatkan lagi pelabur di negara ini khususnya Selangor.

“Pengumuman Perdana Menteri semalam saya rasa akan memberikan impak lebih besar apabila pengecualian visa selama 30 hari kepada negara-negara Timur Tengah, China serta Asia Pasifik akan membantu, supaya mereka lebih mudah datang untuk berbincang sebagai pelabur.

“Ia, tidak konsisten tiap-tiap tahun (kemasukan potensi pelabur luar negara), tetapi ini antara top 10 seperti China, Amerika Syarikat, Jepun dan negara-negara Eropah (pelabur) yang biasa datang ke Selangor,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya