3kg daun ganja segar dicampak dalam laut

3kg daun ganja segar dicampak dalam laut

ANGGOTA Maritim Malaysia menangkat bungkusan plastik berisi daun ganja segar yang cuba diseludup masuk pada kedudukan 1.9 batu nautika timur laut Tanjung Kemarung, Langkawi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Cubaan menyeludup masuk tiga kilogram (kg) daun ganja segar dari Thailand gagal apabila dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan 1.9 batu nautika timur laut Tanjung Kemarung, di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi mengesan bot fiber dinaiki penyeludup yang sedang bergerak masuk ke perairan Langkawi dalam keadaan mencurigakan.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, maklumat itu kemudian disalurkan kepada bot peronda yang sedang melaksanakan Op Aman dan Op Tiris 2.0.

“Bot peronda terus ke lokasi berkenaan bagi memintas dan menyerbu bot terbabit, namun suspek bertindak membuang tiga bungkusan plastik ke laut sebelum menukar haluan dengan berpatah balik ke arah sempadan Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini.

Romli berkata, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan plastik yang dibuang itu menemukan daun ganja segar dengan anggaran berat tiga kilogram bernilai lebih RM9,000.

“Daun ganja segar itu dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jiran ke Malaysia untuk diproses dan dijual kepada rakyat tempatan,” ujarnya.

Beliau berkata, semua hasil rampasan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut dan diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Susulan itu, Maritim Malaysia Kedah dan Perlis telah merangka pelan tindakan bagi menangani kegiatan ini daripada berleluasa.

“Aset-aset kita diletakkan dalam keadaan siap siaga sepanjang masa, meningkatkan intipan, rondaan dan kawalan di kawasan-kawasan hotspot serta melaksanakan operasi khas bersama Bahagian Perisikan dan Bahagian Siasatan Jenayah Maritim,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai dan persatuan nelayan untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat dan melaporkan aktiviti penyeludupan yang berlaku bagi membanteras kegiatan itu.

“Sebarang aduan boleh disalurkan ke talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis 04-9662750,” ujarnya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya