GEORGE TOWN: Seramai 3,458 penerima sumbangan menerusi program i-Sejahtera Fasa 4/2023 di negeri ini akan menerima bayaran masing-masing secara Electronic Funds Transfer (EFT) bermula 20 November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Lim Siew Khim berkata, pembayaran itu merangkumi seramai 2,669 penerima Program Penghargaan Warga Emas (PPWE); 235 penerima Program Bantuan Ibu Tunggal (PBIT) dan 554 penerima Program Suri Emas (PSE) melibatkan perbelanjaan sebanyak RM612,700.
Selain itu, jelas beliau, pembayaran bagi Program Bantuan OKU Fasa 3/2023 telah dilaksanakan mulai 28 Oktober lalu dengan jumlah penerima seramai 757 orang membabitkan peruntukan sebanyak RM151,400.
“Pembayaran khairat kematian (di bawah Program Bantuan OKU) turut dilaksanakan kepada 79 waris melibatkan peruntukan sebanyak RM79,000.
“Jumlah yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk program iSejahtera pada tahun ini sahaja adalah sebanyak RM54,262,200,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, penduduk yang terlibat boleh menyemak status pembayaran mulai 27 November ini melalui laman web i-Sejahtera https://isejahtera.penang.gov.my.
Ujarnya, mereka juga digalakkan menghubungi Pusat Khidmat Kerajaan Perpaduan yang berdekatan untuk maklumat lanjut tentang semakan status pembayaran.
Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri menyeru pemohon supaya mengemas kini maklumat akaun bank masing-masing bagi memastikan penerimaan bantuan Program i-Sejahtera berjalan lancar pada tahun 2024.
“Pemohon program PPWE, PBIT atau Program Bantuan OKU yang menghadapi masalah akaun bank boleh menggunakan akaun bank ahli keluarga dengan syarat pemegang akaun bank tersebut didaftarkan sebagai waris yang sah di dalam sistem i-Sejahtera,” katanya. – UTUSAN