IPOH: Jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 340 orang daripada 99 keluarga dari daerah Hilir Perak dan Kerian hari ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak berkata, jumlah itu meningkat seramai 33 orang berbanding 307 mangsa daripada 99 keluarga pada pukul 2 petang semalam.
Katanya, empat pusat pemindahan sementara (PPS) kekal beroperasi iaitu di dua di daerah Hilir Perak dan dua di daerah Kerian.
“Bagi daerah Hilir Perak, seramai 165 mangsa daripada 50 keluarga berada di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak manakala 21 orang daripada enam keluarga pula di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap.
“Di Kerian, seramai 97 mangsa daripada 24 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak manakala 57 orang daripada 19 keluarga di PPS SK Alor Pongsu,” katanya.
Sementara itu, kejadian tanah runtuh berlaku di Felda Trolak Jaya, Slim River menyebabkan beberapa pokok tumbang merentangi jalan.
Susulan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River ke lokasi kejadian bagi membantu memotong pokok berkenaan selepas menerima panggilan mengenai kejadian tersebut pada pukul 6.30 pagi.
“Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama sudah dibuka kepada semua kenderaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) namun orang ramai masih boleh menggunakan laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.
“Bagaimanapun, laluan FT 147 Jalan Selama kini ditutup kepada semua kenderaan dan orang ramai diarahkan menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah,” katanya. – UTUSAN