PETALING JAYA: Sebanyak 21,200 saman dengan 109 tangkapan melalui Op Perdagangan terhadap kenderaan-kenderaan berat dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari 20 September hingga 14 November lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, jumlah tersebut daripada 135,193 kenderaan diperiksa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dalam tempoh tersebut.
Katanya, PDRM melalui JSPT memandang serius terhadap kes kemalangan melibatkan kenderaan berat antaranya lori dan bas yang mengorbankan nyawa orang ramai yang tidak bersalah.
“Justeru, JSPT telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Op Perdagangan secara berterusan terhadap kenderaan berat bagi memastikan pemandu dan pengusaha syarikat pengangkutan mematuhi peraturan serta undang-undang keselamatan jalan raya.
“Sebanyak 1,078 operasi dilaksanakan sejak Januari hingga November ini berbanding 797 operasi untuk tempoh sama, tahun lalu. Menerusi operasi ini pelbagai kesalahan telah dikesan seperti membawa muatan berlebihan dan dalam keadaan fizikal tidak memuaskan yang boleh menjadi penyumbang kemalangan jalan raya,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan PDRM di Bukit Aman hari ini.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada JSPT atas beberapa kejayaan diperoleh antaranya memenangi kategori Penambahbaikan di Majlis Persada Inovasi Peringkat PDRM 2023 dan meraih tempat pertama bersama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dalam pertandingan inovasi Kementerian Dalam Negeri menerusi aplikasi MyBayar PDRM.
Jelas beliau, selain itu, JSPT berjaya melaksanakan pembekalan dokumen kemalangan meliputi keputusan kes, rajah kasar dan gambar yang boleh diakses oleh pengadu melalui aplikasi tersebut.
“Aplikasi ini juga memudahkan pengadu membuat tuntutan pembayaran dengan pihak insurans.
“Selain itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JSPT kerana banyak melakukan tugas di luar skop masing-masing.
“Banyak berita dan gambar dikongsi pengguna media sosial bagaimana anggota membantu pengguna jalan raya termasuk membersihkan longkang tersumbat,” katanya.
Beliau yakin setiap anggota melakukan dengan seikhlas hati tanpa mengharapkan ganjaran apa-apa dalam hal tersebut.
“Saya juga mengingatkan warga pasukan polis terutama pegawai dan anggota bahawa segala tindak-tanduk kita sama ada yang baik atau sebaliknya sentiasa berada dalam radar masyarakat.
“Untuk itu mari kita tanamkan sikap bertanggungjawab berintegriti di tahap yang baik bagi dalam keadaan apa jua,” katanya. – UTUSAN