KUALA TERENGGANU: Seramai 184 mangsa daripada 67 keluarga dipindahkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di Terengganu dalam kejadian banjir gelombang pertama setakat pukul 12 tengah, hari ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, mangsa tertinggi ialah di Dewan Serbaguna Tok Jembal di Kuala Nerus yang menempatkan 124 orang daripada 54 keluarga.
Satu lagi PPS di Kuala Nerus ialah Dewan Flat Batin Perdana yang menempatkan 25 mangsa daripada empat keluarga.
Pada masa sama, seramai 35 mangsa daripada sembilan keluarga pula kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering di daerah Kuala Terengganu.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat berkata, secara umumnya, hujan turun menyeluruh di negeri Terengganu bermula awal pagi tadi.
“Penerimaan hujan yang sangat tinggi direkodkan melebihi 200 milimeter (mm) di sekitar daerah Kuala Terengganu manakala 100 mm di sekitar daerah Kuala Nerus, Besut, Setiu dan Marang,” katanya.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi arahan penutupan jalan yang telah dinaiki air dan menggunakan laluan alternatif yang dicadangkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Ibu bapa juga dinasihatkan agar memantau pergerakan anak-anak mereka kerana kita tidak mahu berlakunya sebarang insiden termasuk kehilangan nyawa dalam tempoh bencana kali ini,” katanya. – UTUSAN