18 daripada 729 projek pembangunan dikategorikan projek sakit - Utusan Malaysia

18 daripada 729 projek pembangunan dikategorikan projek sakit

ABDUL Rahman Mohamad (kanan) diberi penerangan mengenai projek pembangunan Chukai Sentral di Chukai, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Kementerian Kerja Raya mengenal pasti sebanyak 18 daripada 729 projek pembangunan yang dilaksanakan di bawah kementerian itu di seluruh negara dikategorikan sebagai ‘projek sakit’. 

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak tiga projek terpaksa ditamatkan dan ditender semula berikutan tidak mampu dilaksanakan kontraktor.  

“Dalam mesyuarat bulan lalu, kita telah mengenal pasti sebanyak 18 projek sebagai projek sakit. 

“Bagaimanapun, peratusan projek sakit ini adalah rendah iaitu hanya 2.46 peratus berbanding lebih 97 peratus projek yang berjalan lancar dan ada daripada projek ini dapat dilaksanakan lebih cepat daripada masa yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat projek pembinaan Chukai Sentral bersama Jabatan Kerja Raya Terengganu, di sini, hari ini. 

Abdul Rahman yang juga Pengerusi Projek Sakit berkata, pihaknya sedang memantau dan memastikan keseluruhan projek di bawah kementerian itu dapat dilaksanakan mengikut perancangan. 

“Kalau rakyat dengar JKR dan KKR buat kerja tak efisien, saya menyangkal sama sekali sebab sebenarnya banyak projek yang dapat kita siapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan. 

“Saya sedang siapkan data mengenai projek yang berjaya kita siapkan lebih awal ini dan saya akan bentangkan di Parlimen supaya rakyat tahu situasi sebenar,” katanya. 

Menurutnya,antara faktor berlaku kelewatan projek adalah disebabkan kesilapan kontraktor melakukan pengiraan kos projek. 

“Mungkin masa itu sesuai dengan harga yang ditender, namun bila berlaku faktor luar jangka seperti kekurangan pekerja dan permintaan tinggi menyebabkan kontraktor terpaksa membayar lebih dan akhirnya menyebabkan kontraktor terputus modal,” katanya. 

Mengenai projek pembinaan Chukai Sentral yang bernilai RM47.258 juta, Abdul Rahman berkata, projek tersebut bakal memberi impak ekonomi yang besar kepada penduduk di daerah ini. 

“Projek pembinaan bangunan dibina di atas tanah berkeluasan 11 ekar (4.45 hektar) ini dijangka siap pada November tahun depan.

“Projek ini merangkumi pembinaan terminal bas dan teksi yang moden serta kompleks pasar dan ruang perniagaan ruang niaga yang mempunyai 130 lot ruang perniagaan, surau dan tandas” katanya.  

Menurutnya, turut dibina Taman Rekreasi Rakyat yang dilengkapi gelanggang sepak takraw dan bola tampar serta sebanyak 315 lot parkir. 

“Projek ini juga dapat mengatasi masalah stesen bas lama yang sempit dan sesak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya