1,101 pegawai, anggota bomba digerakkan ke lokasi banjir - Utusan Malaysia

1,101 pegawai, anggota bomba digerakkan ke lokasi banjir

HASSAN 'As'ari Omar (dua dari kanan) meninjau antara aset JBPM Terengganu untuk membantu mangsa banjir di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mempunyai keanggotaan dan aset mencukupi bagi menangani gelombang pertama banjir di negeri ini yang bermula.

Pengarah JBPM negeri, Hassan ‘As’ari Omar, berkata, pihaknya juga memiliki kemampuan sekiranya berlaku banjir di kesemua lapan buah daerah di Terengganu secara serentak.

Menurut beliau, seramai 1,101 pegawai dan anggota JBPM Terengganu termasuk pegawai bomba bantuan dan sukarela terlibat dengan operasi banjir Monsun Timur Laut (MTL) kali ini.

Selain itu Hassan ‘As’ari menjelaskan, 104 aset penyelamatan terdiri daripada aset marin dan utiliti turut disediakan dan telah pun digerakkan ke lokasi terjejas banjir sejak Isnin lalu.

“Keanggotaan kita mencukupi, malah aset tambahan di Pengkalan Hadapan Operasi Wilayah di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai juga boleh dikerah bila-bila masa.

“Jika tidak cukup juga, kita akan minta bantuan dari negeri-negeri tidak terlibat banjir untuk menambah jumlah aset dan anggota bagi operasi menyelamat atau memindahkan mangsa.

“Ini penting untuk memastikan isu pengurusan banjir berjalan lancar serta selamat,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, hari ini.

Menurut beliau, keanggotaan JBPM negeri terdiri daripada 65 pegawai kanan, pegawai (627), pegawai bantuan (114), pegawai sukarela (264) serta anggota gunasama seramai 31 orang.

Selain itu, menurut Hassan ‘As’ari, JBPM juga bekerjasama dengan pihak luar iaitu pengendali projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang mempunyai pengangkutan khas sekiranya diperlukan.

Katanya, fokus utama adalah memastikan keselamatan mangsa banjir di lokasi terjejas untuk segera dipindahkan ke kawasan lebih selamat sambil memantau keadaan cuaca semasa.

“Buat masa ini operasi menyelamat dan memindahkan mangsa berjalan baik dengan kerjasama pelbagai agensi namun cuaca hujan diramal berterusan sekaligus mengundang banjir lebih buruk.

“Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan agar mematuhi arahan pihak berkuasa untuk berpindah segera ke pusat pemindahan sementara (PPS) bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya