BENTONG: Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa menafikan lawatan pada-pada saat akhir ke beberapa premis di sini mempunyai kaitan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai.
Katanya, beliau hadir atas kapasiti sebagai seorang Menteri bagi melihat sendiri aspek keperluan dan kemudahan fasiliti kesihatan kerajaan yang berada dalam Pelangai.
“Tiada (kaitan pilihan raya), memang saya turun untuk apa-apa program, turun dan melihat sendiri fasiliti-fasiliti kerajaan.
“Saya datang memang tugas, saya datang dan selepas habis, baru buat kerja lain, politik dan sebagainya.
“Tetapi ini kita tengok mana ada (kaitan politik), saya datang sebagai Menteri dan orang lain sebagai Ahli Parlimen,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Klinik Kesihatan Chemomoi di sini hari ini.
Semalam Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memantau parti politik yang menyalahgunakan jentera dan aset kerajaan pada PRK DUN Pelangai.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, SPR juga perlu memantau pengumuman dan pemberian insentif kepada kerajaan sama ada oleh kerajaan negeri mahupun Kerajaan Persekutuan kepada rakyat sepanjang kempen berlangsung.
Bagaimanapun Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani berkata, pihaknya tidak menerima aduan rasmi berhubung dakwaan penyalahgunaan jentera dan aset kerajaan dalam pilihan raya itu.
Dalam pada itu, Dr. Zaliha memaklumkan, beliau melakukan lawatan ke Klinik Kesihatan Telemong dan Klinik Kesihatan Chemomoi bagi melihat sendiri kelewatan projek pembinaan membabitkan dua fasiliti kesihatan berkenaan.
Katanya, Pusat Hemodialisis Klinik Kesihatan Chemomoi dikenali antara projek sakit di bawah Kementerian Kesihatan dan sepatutnya siap pada September lalu.
“Tetapi kontraktor ditamat kerana tidak mampu, pembinaan sekitar 50 peratus. Insya-Allah kita akan buat tender semula.
“Kita harap sekurang-kurangnya tahun depan siap pembinaan Pusat Hemodialisis Klinik Kesihatan Chemomoi,” katanya.
Beliau juga memaklumkan pihaknya bersetuju meletakkan pusat X-ray di sini di samping menambah kemudahan ambulans. – UTUSAN